KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan keutamaan ketika ini adalah untuk menyelamatkan Perikatan Nasional (PN).
Ini kerana, Pas berpendapat semua pihak perlu dilibatkan sekiranya PN berhasrat untuk mengambil alih pentadbiran negara.
Sementara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menjelaskan sudah mendengar hujah daripada kedua-dua pihak yang berseteru di dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Dua-dua pihak kita jumpa ada hujah masing-masing…saya dengar kedua-duanya dan kita nak selesaikan…,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Kuliah Dhuha di Masjid Rusila, Terengganu hari ini.
Sebelum ini, bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dilaporkan mengadakan pertemuan dengan Abdul Hadi di Rusila, sehari selepas beliau dipecat daripada parti itu.
Dalam pertemuan itu, Hamzah diiringi beberapa bekas pimpinan kanan Bersatu antaranya Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee dan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan.
Beberapa hari kemudiannya, pertemuan dengan Abdul Hadi turut berlangsung antara Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin yang baharu dilantik menjalankan tugas Timbalan Presiden Bersatu.
Bagaimanapun, tiada maklumat lanjut dikongsi semua pihak berkenaan dalam kedua-dua pertemuan tersebut.
Sementara itu, Abdul Hadi berkata, mesyuarat Pas yang dijadualkan Ahad ini akan membuat keputusan berhubung lantikan Pengerusi PN, selain turut dijangka membincangkan berkenaan kedudukan Ketua Pembangkang susulan pemecatan Hamzah daripada Bersatu.
Ujarnya, Pas tetap dengan pendirian untuk mengambil alih kepimpinan PN selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan itu susulan kemelut politik yang berlaku di Perlis.
Ditanya bagaimana sekiranya Pengerusi PN daripada Pas yang diumumkan kelak tidak mendapat persetujuan Bersatu, Abdul Hadi berkata: “Kita belum buat keputusan lagi, tengok dulu macam mana”.
Sebelum ini, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, parti itu kekal dengan pendirian bahawa Pengerusi PN perlu dilantikan dalam kalangan Presiden parti gabungan PN.
Pendirian Tun Faisal Ismail itu berikutan kenyataan beberapa pemimpin Pas sebelum ini bahawa calon Pengerusi PN daripada parti itu tidak semestinya Presiden, tetapi mana-mana pemimpin yang diyakini mampu menggalas tanggungjawab tersebut.
Sementara itu, kepada soalan berkenaaan kemungkinan Hamzah menyertai `rumah baharu’ selepas dipecat daripada Bersatu, Abdul Hadi berkata, ia terpulang kepada Ahli Parlimen Larut berkenaan. – MalaysiaGazette















