KUALA LUMPUR – Kenyataan Pemuda Pakatan Harapan Johor yang cuba mengaitkan gangguan bekalan air di Simpang Renggam dan Benut dengan pembangunan pusat data di negeri ini berunsur politik dan tidak bertanggungjawab.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan, tidak ada satu pun pusat data di Simpang Renggam dan Benut.
“Gangguan bekalan air yang berlaku di kawasan Simpang Renggam dan Benut adalah berpunca daripada faktor kemarau berpanjangan serta penyusutan paras sumber air mentah dan bukan sama sekali disebabkan oleh pembangunan pusat data seperti yang cuba digambarkan oleh pihak tertentu.
“Kemarau ini juga berlaku di negeri lain seperti yang telah dilaporkan oleh pihak media,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Machap dan juga Ketua Bahagian UMNO Simpang Renggam, Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam merupakan loji utama yang membekalkan air terawat kepada sebahagian kawasan di daerah Kluang dan Pontian Utara.
Dari segi liputan agihan, LRA Simpang Renggam membekalkan air kepada kawasan Simpang Renggam, Jalan Benut, Jalan Renggam serta keseluruhan kawasan Machap di daerah Kluang, selain Tampok, Benut dan Api-Api di Pontian Utara.
Di dalam kawasan agihan air terawat LRA Simpang Renggam tidak terdapat sebarang pusat data.
Pusat data yang paling hampir terletak di kawasan Perindustrian Sedenak dan ia tidak menerima bekalan air daripada LRA Simpang Renggam tetapi LRA Semangar yang sumber air mentahnya adalah daripada Sungai Johor dan bukannya daripada Empangan Machap.
“Fakta ini sahaja sudah cukup untuk membuktikan bahawa dakwaan yang mengaitkan gangguan bekalan air di Simpang Renggam dan Benut dengan pembangunan pusat data adalah tidak benar dan tidak bertanggungjawab.
“Sebagai kerajaan yang mentadbir pada hari ini, tanggungjawab kami adalah memastikan kestabilan, ketelusan maklumat dan tindakan penyelesaian yang konkrit.
“Ini bukan masa untuk bermain politik dan cuba menangguk di air keruh dengan menakut-nakutkan rakyat dan mengeluarkan dakwaan yang tidak berasas,” tegasnya.
Onn Hafiz juga menyeru semua pihak agar lebih bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan khususnya apabila melibatkan keperluan asas rakyat dan pelaburan strategik negeri.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk berkongsi bahawa Bekalan Air Berjadual (BAB) yang mula dilaksanakan di Simpang Renggam dan Benut sejak 7 Februari 2026 termasuk penjadualan 48 jam tanpa bekalan air mengikut zon, kini ditamatkan sepenuhnya.
“Semua rumah kini mendapat bekalan air seperti biasa.
Syukur Alhamdulillah, keputusan ini dibuat susulan perkembangan positif paras air Empangan Machap serta loji rawatan air yang kini beroperasi secara optimum selepas tempoh pemantauan rapi.” katanya.
Menurut beliau, hak rakyat terhadap bekalan air bersih sentiasa menjadi keutamaan kerajaan negeri. – MalaysiaGazette
















