KUALA LUMPUR – Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) yakin kemelut yang melanda Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Perikatan Nasional (PN) masih boleh diselamatkan demi memastikan wujudnya blok semak dan imbang yang kukuh terhadap kerajaan.
Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pihaknya memandang serius perkembangan mutakhir membabitkan hubungan kedua-dua parti itu yang dilihat semakin tidak sehaluan, selain pergolakan dalaman yang turut menggugat kestabilan Bersatu.
“Kita dengar kemelut Pas dan Bersatu dalam Perikatan Nasional. Pas dan Bersatu nampak macam dah tidak sehaluan, dalaman Bersatu pun bergolak.
“Saya dan Pejuang sedih dan risau bila tengok PN dalam keadaan macam itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas situasi semasa Bersatu yang kini berdepan krisis dalaman apabila beberapa Ahli Parlimennya disingkirkan susulan tidak menyokong presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Malah, terdapat Ahli Parlimen yang secara terbuka menggesa Muhyiddin berundur dan menyerahkan tampuk kepimpinan kepada timbalannya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, sekali gus menambah tekanan terhadap kepemimpinan parti itu.
Sehubungan itu, Mukhriz menyeru semua pihak yang cintakan negara agar mengetepikan perbezaan dan kembali bersatu atas dasar prinsip serta integriti.
“Marilah kita ketepikan segala perbezaan, jangan biarkan sentimen membutakan kita daripada musuh yang sebenar.
“Pasanglah niat yang tulus ikhlas untuk bersama-sama membetulkan apa yang dirosakkan oleh kerajaan sekarang. Dan kita wajib berjanji di depan Allah SWT bahawa apabila kita diberi amanah untuk memerintah negara nanti, kita tidak akan sekali-kali pecah amanah itu,” katanya lagi.
Menurut beliau, ketika pembangkang berdepan cabaran dalaman, kerajaan sepatutnya mempamerkan keupayaan mentadbir dengan lebih berkesan.
Namun, dakwanya, pelbagai isu membabitkan kedaulatan dan ekonomi negara terus menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat.
“Kedaulatan negara terancam bila timbul isu perjanjian perdagangan dengan Amerika Syarikat. Ekonomi kita macam dah tak boleh stabil sendiri.
Rakyat dah mula tertanya, siapa sebenarnya yang pegang takuk pemerintahan ni? Rasuah, jangan cakaplah,” katanya.
Mukhriz turut membangkitkan isu penguatkuasaan undang-undang yang didakwanya tidak dilaksanakan secara menyeluruh sehingga menimbulkan persepsi wujud layanan berbeza terhadap individu tertentu.
“Memang ada yang tangkap, tapi kroni yang mana jerung-jerung besar itu masih bebas. Yang ada pengaruh politik pula, asyik dapat DNAA,” ujarnya.
Beliau turut menyentuh laporan media asing yang didakwa mengaitkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan mafia korporat, sekali gus mencetuskan keraguan terhadap integriti institusi penguatkuasaan.
Dalam masa sama, beliau mempersoalkan komitmen kerajaan terhadap agenda reformasi institusi dan tadbir urus, termasuk isu pelantikan jawatan penting yang menurutnya masih dibuat atas nasihat Perdana Menteri.
“Akta perubahan kerajaan yang baru pun tak keluar macam bagi lesen besar kepada PM dan menteri pilih kontrak ikut suka hati. Mana janji nak jaga duit rakyat? Mana janji nak elak skandal macam mana 1MDB dulu?
“Akta pendanaan politik pun entah mana. Sampai sekarang tak siap-siap. Adakah ini sebab nak bagi laluan kepada parti pemerintahan kutip duit secara senyap untuk persiapan PRN dan PRU yang akan datang. Setiausaha politik PM pun tak kena tangkap pun.
“Kita masih tertanya-tanya, kenapa pelantikan ketua penguat kuasa pun masih atas nasihat PM — Peguam Negara, Ketua Polis, Ketua SPRM, Ketua Hakim — semuanya dilantik atas nasihat kerajaan. Bila keputusan yang memihak kroni tertentu dibuat, dah tentu rakyat mula curiga. Susah dah nak percaya bahawa setiap keputusan itu baik untuk rakyat, baik untuk negara, bila lantikan pun ada kepentingan politik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















