Zul Mazuwan didakwa mengikut Seskyen 380 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Seorang pemandu lori yang baru dibebaskan dengan jaminan kerana mendatangkan kecederaan terhadap anggota polis menggunakan kayu golf pada 11 Februari lalu, sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan mencuri harta dalam bangunan, lima hari lepas.

Tertuduh, Zul Mazuwan Zulhilman Suresh Kumar, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal.

Mengikut pertuduhan, lelaki bujang itu didakwa telah mencuri harta dalam bangunan iaitu sebuah telefon bimbit jenama Oppo A79 milik seorang lelaki warga asing jam 12.30 tengah malam pada 15 Februari lalu di sebuah kedai makan di Jalan Sungai Nyior di sini.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda, dan bagi kesalahan kali kedua atau yang kemudian, hendaklah dihukum dengan pemenjaraan serta boleh dikenakan denda atau sebat.

Ketika prosiding Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Farihin Ahmad menawarkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh memohon jaminan minimum atas alasan tertuduh berpendapatan RM1,800 sebulan sebagai pemandu lori, masih bujang selain menghidap asma.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 7 April depan untuk sebutan semula kes bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.

ARTIKEL BERKAITAN

Lelaki didakwa cederakan dua lelaki termasuk polis guna kayu golf

http://Pemandu lori sampah dituduh lakukan seks luar tabii, rogol warga asing

Untuk rekod, tertuduh sebelum ini didakwa pada 11 Februari lalu atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap anggota polis menggunakan kayu golf.

Selain itu, lelaki itu juga mempunyai lebih 20 rekod lampau termasuk pernah didakwa atas kes persetubuhan luar tabii pada 2021. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast