KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahah Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mahu siasat Perdana Menteri dengan bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz?
Itu gesaan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli ekoran Mahkamah Amerika Syarikat (AS) umum tarif Donald Trump yang dikenakan ke atas import dari negara lain tidak sah di sisi undang-undang.
“Oleh kerana tarif yang diumumkan sebelum ini tidak sah, Trump baru mengumumkan tarif yang sama kepada semua barang import pada kadar 10%. Saya sengih saja.
“Orang dah kata jangan tergesa-gesa nak tandatangan perjanjian tarif dengan AS, terutamanya kalau persetujuan Malaysia itu dipakejkan sebagai syarat kehadiran Trump ke Malaysia.
“Susah payah Zafrul cuba yakinkan rakyat bahawa tarif 19% yang Malaysia kena bayar, termasuk dengan segala perkara yang kita kena rujuk dengan US sebelum buat keputusan – itu adalah hasil rundingan terbaik untuk rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan videonya.
Kini, menurut Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi itu, negara-negara lain di Asia Tenggara gelakkan kita.
“Mereka tidak perlu bersetuju apa-apa, kedaulatan negara mereka tidak disentuh lagi, mereka belum tandatangan apa-apa.
“Dan tarif yang mereka perlu bayar hanyalah 10%, jauh lebih rendah dari tarif 19% yang dirundingkan PMX dan Zafrul.
“Yang lawaknya, mana Azam Baki dalam hal ini? SPRM kini menyiasat saya atas tuduhan kononnya saya mengetuai rundingan perjanjian dengan syarikat gergasi cip dunia ARM dengan tergesa-gesa hingga merugikan negara.
“Gajah depan mata, Azam Baki tidak nampak. Kalau nak siasat bagaimana perjanjian dibuat tergesa-gesa hingga merugikan negara, siasat PMX dan Zafrul dalam perjanjian ART ini,” katanya. – MalaysiaGazette















