KUALA LUMPUR – Seorang individu disiasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang
dipercayai memuat naik kandungan bersifat mengancam, menghina dan jelik melampau terhadap kerabat diraja Terengganu menerusi akaun peribadinya di platform X.
Kandungan tersebut didapati menyentuh sensitiviti institusi diraja serta mengandungi unsur penghinaan dan ancaman yang
berpotensi mencetuskan kebencian, ketegangan awam dan gangguan terhadap ketenteraman negara.
“Bagi membantu siasatan, individu berkenaan telah dipanggil untuk sesi rakaman percakapan yang dijalankan di Balai Polis Lanchang pada 21 Februari 2026.
“Dalam sesi tersebut, satu unit telefon bimbit dan satu unit kad SIM telah disita bagi tujuan analisis forensik digital,” kata MCMC.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang memperuntukkan hukuman denda maksimum sehingga RM500,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
MCMC menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap
sebarang penyalahgunaan media sosial yang mengandungi unsur ancaman, hasutan kebencian atau penghinaan terhadap institusi diraja.
Katanya, tindakan penguatkuasaan akan diambil secara tegas dan profesional selaras dengan uundang-undang sedia ada tanpa mengira latar belakang mana-mana pihak.
Oleh itu, orang ramai diingatkan agar tidak menyalahgunakan platform digital untuk menyebarkan kandungan yang menyalahi undang-undang. – MalaysiaGazette
















