SHAH ALAM – Polis sedang mengesan sekumpulan lelaki yang menggunakan beberapa kenderaan termasuk pacuan empat roda dipercayai mencuri kabel di kawasan Seksyen 3, di sini, tengah malam Jumaat.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang penduduk, kira-kira jam 5 pagi.
“Usaha mengesan dan menangkap suspek-suspek kejadian sedang giat dijalankan. Kejadian disedari sewaktu saksi sedang tidur terdengar bunyi bising di luar rumah.
“Saksi telah bangun dan lihat sekumpulan lelaki tidak dikenali sedang memotong kabel.
“Saksi cuba mengekori suspek selepas itu namun saksi telah diberi amaran apabila suspek berpatah balik cuba mengejar saksi semula sebelum suspek melarikan diri,” katanya menerusi satu kenyataan, awal pagi ini.
Terdahulu, klip video berdurasi 14 saat memaparkan sekumpulan lelaki sedang memotong kabel di sekitar kawasan Seksyen 3, di sini, tular di platform media sosial tular pada Sabtu.
Turut kelihatan dalam rakaman video itu beberapa kenderaan termasuk pacuan empat roda dipercayai digunakan untuk mengangkut hasil curian dipercayai kabel tembaga.
Ramsay juga berkata, sekumpulan lelaki tersebut aktif dan mahir mencuri kabel bagi mendapatkan besi tembaga.
“Ia berdasarkan cara mereka melakukan kegiatan dengan mengorek lubang kabel dan menariknya keluar sebelum memotongnya di tempat yang sunyi,” katanya.
Beliau berkata, jumlah kabel terlibat dan nilai kerugian masih dalam siasatan pihak polis.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan,” katanya.
Katanya lagi, pihak polis turut menggesa orang awam agar segera menghubungi talian kecemasan 999 sekiranya menemui individu mencurigakan atau sebarang aktiviti mencuri kabel.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Muhammad Zamri Abdul Rahman di talian 0111-6652402 bagi membantu siasatan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















