Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim, mempengerusikan mesyuarat bersama Menteri-Menteri Besar negeri utara berkaitan North Corridor Economic Region (NCER) di Perdana Putra, Putrajaya. 23 Februari 2026. IZZUDDIN ABD RADZAK/Pejabat Perdana Menteri.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) berjaya mencatatkan pelaburan direalisasi sebanyak RM78.95 bilion dan mewujudkan lebih 23,000 peluang pekerjaan pada tahun lalu.

Menurut Perdana Menteri, pencapaian itu dilaporkan dalam Mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara ke-35 yang dipengerusikan beliau pagi tadi.

Selain itu, katanya, NCER pada tahun lalu berjaya melahirkan 4,000 orang bakat tempatan yang menepati keperluan pelabur dan industri menerusi program di bawah kendalian Pusat Inovasi Teknologi NCER (NTIC).

“Mesyuarat kali ini telah membincangkan perancangan 2026 dan tahun mendatang dengan fokus memantapkan peranan dalam mempercepatkan realisasi pelaburan berkualiti tinggi di wilayah utara, ini termasuk beberapa pelaburan berpotensi terkait Kedah Rubber City (KRC) dan Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA), Perlis,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Tambah Anwar, turut diteliti dalam mesyuarat itu adalah inisiatif meluaskan impak pembangunan ekosistem pelaburan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand dan kajian meningkatkan semula daya saing pelancongan di Pulau Langkawi. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast