KUALA LUMPUR – Datuk Seri Rafizi Ramli mendedahkan pempengaruh media sosial, Caprice pernah ‘mengejar’ beliau melalui pegawai pejabat semasa memegang jawatan Menteri Ekonomi.
Dedahnya, Caprice atau nama sebenarnya, Ariz Ramli pernah menghantar mesej pada 4 Januari 2024 untuk berjumpa dengan pegawainya dengan menyebut mengenai sistem subsidi yang pernah dia bentang kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN).
Ketika itu, kata Rafizi, Kementerian Ekonomi sedang merangka dasar penyelarasan semula subsidi.
Dakwanya, Caprice turut mengaitkan (name-dropped) nama Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dengan presentation app untuk pertanian nama YouFarm.
Tambah Rafizi, Caprice juga meminta untuk “private coffee session” dengan pegawainya sebab nak tunjuk “what else i’ve been doing for Madani”.
“Siap cakap “I really wanna show u”,” kata Ahli Parlimen Pandan itu namun permintaan Caprice tidak dilayan.
Menurut Rafizi, Caprice masih cuba lagi untuk bertemu dengannya apabila dia sekali lagi menghantar mesej pada 9 Julai 2024.
“Yoooo”. “Rafizi really needs a rebranding bruv”,” tulis mesej daripada Caprice.
Rafizi berkata, pempengaruh itu masih mengejar pegawainya sehingga 4 Mei 2025.
Beliau akui orang ramai mudah terpengaruh dengan pempengaruh kerana mempengaruhi memang kerja mereka,
Katanya kalau nak pilih ais krim atau sambal mana nak makan, okaylah untuk terpengaruh dengan Caprice.
“Tapi kalau pasal politik, kepimpinan, sebelum buat keputusan, perhatikan dia konsisten ke tidak. Sebab memang ada pempengaruh macam ni. Semua ni bagi dia job je.
“Hari ni dia lambung Madani, esok kalau kerajaan bertukar dia lanyak Madani. Yang bodoh ialah orang-orang politik juga yang dok cari dan bagi job kepada pempengaruh macam ni,” kata Rafizi. – MalaysiaGazette
















