JIM melakukan serbuan dan menahan dua warga tempatan dan 19 warga asing yang bekerja sebagai tukang masak dan pelayan di empat restoran dalam sebuah pusat beli-belah terkenal di Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU -Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan 19 warga asing dan dua warga tempatan selepas menyerbu empat restoran dalam sebuah pusat beli-belah terkenal di sini semalam.

Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, serbuan itu dilakukan pukul 12 tengah hari melibatkan 25 pegawai penguat kuasa dan dijalankan berdasarkan maklumat awam serta risikan.

“Hasil serbuan itu dua lelaki warganegara tempatan dipercayai pengurus premis ditahan. Ini termasuk yang mengendalikan kedai makan yang menyajikan masakan makanan India turut ditahan.

“Seramai 19 pekerja asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen. Mereka terdiri daripada 11 lelaki Myanmar, seorang lelaki Indonesia, seorang wanita Indonesia dan enam wanita Myanmar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Rusdi  berkata, waga asing yang ditahan itu berusia antara 19 hingga 49 tahun serta mereka bekerja sebagai tukang masak dan pelayan restoran.

Jelas beliau, kesemua yang ditahan kini ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika di sini untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Selain itu tiga borang saman iaitu Borang 29 dikeluarkan bagi membantu siasatan.

Selaras dengan aspirasi kerajaan Madani katnya, JIM  Johor tidak akan berkompromi sama sekali terhadap warga asing yang tinggal secara haram, tinggal lebih masa dan menyalah guna pas di negara ini.

“Jabatan ini juga akan memerangi dan tidak akan berkompromi dengan majikan, pemilik premis serta individu-individu yang didapati menggajikan serta melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI),” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast