Gambar hiasan

MASALAH kenaikan harga barangan menjadi isu bukan sahaja setiap kali menjelang musim perayaan seperti sekarang.

Saban tahun, ia berlaku dan rungutan demi rungutan kita dengar.

Dalam suasana ekonomi global yang tidak menentu, kenaikan harga barangan dan perkhidmatan banyak dipengaruhi oleh faktor luaran seperti ketidaktentuan geopolitik, gangguan rantaian bekalan dan turun naik harga komoditi dunia.

Bagi memastikan rakyat tidak terkesan secara langsung dengan tekanan kos sara hidup yang meningkat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu dasar subsidi dan bantuan sosial ini diteruskan sebagai langkah perlindungan menyeluruh.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berusaha sepenuhnya meringankan beban di sebalik dakwaan mengatakan tindakannya populis.

Pada tahun 2024, kerajaan telah membelanjakan lebih RM70 bilion bagi keseluruhan subsidi, bantuan dan insentif.

Bagi tahun 2025, sebanyak RM58 bilion diperuntukkan untuk tujuan yang sama termasuk subsidi makanan, tenaga dan petrol.

Jumlah itu diunjurkan berjumlah RM49 bilion pada tahun 2026.

Walaupun terdapat pelarasan jumlah peruntukan, komitmen kerajaan kekal jelas iaitu memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara melalui pendekatan yang lebih mampan dan bersasar.

Mekanisme Subsidi Lebih Bersasar dan Berimpak Tinggi

Selaras dengan keperluan pengurusan fiskal yang berhemat, kerajaan memanfaatkan penjimatan daripada rasionalisasi subsidi menyeluruh untuk menambah peruntukan kepada program yang memberi manfaat langsung kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Antara inisiatif utama ialah peningkatan peruntukan kepada Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada RM15 bilion pada tahun 2025 berbanding RM10 bilion pada tahun sebelumnya.

Peruntukan itu termasuk tambahan RM2 bilion bagi Penghargaan SARA secara one-off.

Langkah berkenaan mencerminkan keutamaan kerajaan dalam memastikan bantuan tunai terus sampai kepada isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana yang paling terkesan dengan kenaikan harga.

Selain itu, peruntukan bantuan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut meningkat kepada RM2.9 bilion pada tahun 2025 berbanding RM2.4 bilion sebelumnya.

Peningkatan itu membolehkan lebih ramai golongan rentan seperti warga emas, orang kelainan upaya dan kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan menerima sokongan sewajarnya.

Bagi menangani kos sara hidup secara lebih meluas pula, sejumlah RM1 bilion disediakan termasuk bagi pengawalan harga bahan asas.

Di bawah inisiatif itu, Program Jualan Rahmah MADANI diperuntuk sebanyak RM600 juta untuk menawarkan barangan keperluan asas pada harga berpatutan di semua 600 Dewan Undangan Negeri (DUN) serta 40 lokasi di Wilayah Persekutuan.

Program yang sama memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat tanpa mengira latar belakang khususnya dalam mendapatkan barangan harian pada harga lebih rendah daripada pasaran.

Dalam aspek pendidikan, peruntukan keseluruhan bagi 17 jenis bantuan termasuk bantuan makanan asrama, bantuan awal persekolahan dan prasekolah meningkat kepada RM5.3 bilion bagi tahun 2025 berbanding RM5 bilion sebelumnya.

Langkah itu memastikan akses pendidikan terus diperkasa, sekali gus meringankan beban kewangan ibu bapa dan penjaga.

Sektor pertanian juga tidak dipinggirkan.

Peruntukan bagi subsidi dan insentif pesawah ditingkatkan kepada RM2.6 bilion berbanding RM2.4 bilion pada tahun sebelumnya.

Sokongan itu penting bagi menjamin kelangsungan pengeluaran makanan tempatan serta kestabilan harga beras dan hasil pertanian lain dalam pasaran domestik.

Subsidi petrol bersasar melalui BUDI MADANI RON95

Dalam usaha merasionalisasi subsidi bahan api tanpa menjejaskan majoriti rakyat, kerajaan memperkenalkan BUDI MADANI RON95 (BUDI95).

Menerusi inisiatif ini, kira-kira 16 juta rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif layak menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter berbanding harga pasaran semasa RM2.05 seliter.

Setiap penerima layak menikmati subsidi bagi jumlah maksimum 300 liter sebulan manakala had lebih tinggi diberikan kepada penggiat industri gig.

Pendekatan sedemikian memastikan subsidi dinikmati oleh pengguna sebenar dan mengurangkan ketirisan di samping mengekalkan harga yang berpatutan kepada majoriti rakyat.

Secara keseluruhannya, meneruskan subsidi dan bantuan sosial mencerminkan komitmen kerajaan dalam melindungi kesejahteraan rakyat daripada impak kenaikan kos sara hidup yang dipacu oleh faktor luar.

Melalui pendekatan yang lebih bersasar, berhemah dan berimpak tinggi, penjimatan hasil rasionalisasi subsidi dapat disalurkan semula kepada program yang benar-benar memberi manfaat kepada golongan paling memerlukan.

Gabungan antara bantuan tunai, sokongan kebajikan, pengawalan harga, subsidi pendidikan, insentif pertanian serta subsidi bahan api bersasar memperlihatkan strategi menyeluruh kerajaan dalam mengekalkan kestabilan sosial dan ekonomi.

Langkah yang dibuat bukan sahaja membantu rakyat menghadapi cabaran semasa malah memastikan pengurusan kewangan negara kekal mampan demi kesejahteraan generasi akan datang.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast