BAITULMAQDIS – Israel melancarkan proses pembidaan bagi pembinaan Metro Tel Aviv, salah satu projek infrastruktur terbesar dalam sejarah, yang dianggarkan menelan kos AS$50 bilion dan dijangka membawa dua juta penumpang setiap hari.

Pada majlis pelancaran di hab ekonomi Israel, syarikat milik kerajaan itu – NTA menjadi tuan rumah kepada wakil daripada puluhan syarikat infrastruktur antarabangsa ketika membuka proses pembidaan projek berkenaan.

Pembida berpotensi telah diberikan maklumat yang diperlukan “untuk melayakkan penyertaan… bagi projek bernilai AS$50 bilion yang dibiayai kerajaan,” menurut kenyataan NTA.

NTA menambah,  rangkaian metro itu akan merangkumi tiga laluan yang meliputi kira-kira 150 kilometer (90 batu) di seluruh kawasan Greater Tel Aviv.

Kawasan metropolitan Tel Aviv, yang sering dirujuk sebagai Gush Dan, mempunyai lebih empat juta penduduk, atau sekitar 40 peratus daripada populasi Israel.

Metro tersebut direka untuk disepadukan dengan sistem rel ringan sedia ada di dalam dan sekitar bandar itu, yang juga terdiri daripada tiga laluan dan merentasi lebih 90 kilometer.

Metro itu dijadualkan mula beroperasi pada tahun 2037, kata seorang wakil NTA.

Kenyataan syarikat itu, memetik Ketua Pegawai Eksekutif NTA, Itamar Ben-Meir, menyifatkan projek tersebut sebagai “usaha nasional yang akan mengubah wajah negara,” ketika Israel bergelut dengan kesesakan jalan raya yang kronik dan kadar kemalangan trafik yang tinggi. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast