KUALA LUMPUR – Dua remaja berdepan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda selepas didapati mencuri motosikal milik seorang penjawat awam di sebuah kuarters kerajaan, Sungai Besi Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, kedua-dua remaja yang berusia 15 tahun itu bagaimanapun hanya direman dua hari bermula 22 hingga 23 Februari.
“Kedua-duanya kemudian telah diberi jamin polis memandangkan masih bersekolah. Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk arahan selanjutnya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Terdahulu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras mengesahkan menerima satu laporan daripada seorang lelaki selepas menyedari motosikal miliknya hilang di sebuah kuarters kerajaan, Sungai Besi di sini pada 21 Februari lalu.
Beliau berkata, berdasarkan laporan, pihaknya berjaya menahan dua remaja bawah umur itu di sekitar Sungai Besi pada keesokan harinya.
“Sepasukan pegawai dan anggota polis dari IPD Cheras telah menahan dua remaja berumur 15 tahun ketika mereka sedang menaiki motosikal milik mangsa di sekitar Sungai Besi.
“Kedua-dua pelajar sekolah itu kemudiannya dibawa ke IPD Cheras,” katanya.
Selain itu, kata Rosdi, hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua suspek mendapati mereka tidak mempunyai sebarang rekod lampau.
“Hasil ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua remaja ini juga negatif dari sebarang jenis dadah,” katanya.
Ketika ditanya tentang hubungan kedua-dua remaja terbabit, Rosdi memberitahu, mereka tidak mengenali antara satu sama lain. – MalaysiaGazette
















