SHAH ALAM – Proses pemindahan patung berhala Kuil Sri Uchimalai Muniswarman di Rawang Perdana, Gombak yang berakhir awal pagi tadi berjalan dengan lancar.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar yang mengesahkan perkara itu berkata, kerja-kerja pemindahan yang bermula jam 9.30 malam pada Selasa dan berakhir jam 4.12 pagi tadi.
“Seramai 10 penganut dan wakil pengurusan kuil telah menjalankan kerja-kerja pemindahan kesemua empat patung berhala.
“Pemilik tanah juga telah memulakan kerja pembersihan tapak kuil tersebut pada awal pagi setelah segala urusan pemindahan selesai,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Shazeli juga berkata, tiada insiden buruk berlaku sepanjang kerja-kerja pemindahan patung berhala dan pembersihan tapak kuil tersebut daripada kedua-dua pihak.
“Sepanjang proses tersebut berlangsung, tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku serta keadaan dipantau oleh pihak polis,” katanya.
Beliau juga mengingatkan semua pihak agar menghormati saluran perundangan sedia ada dan tidak mengambil tindakan sendiri hingga menggugat keharmonian kaum serta agama.
“Sebarang pertikaian hendaklah diselesaikan mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan dan pemilik tanah yang sah,” katanya.
Katanya lagi, polis akan terus memantau ketat sebarang penularan maklumat di media sosial mengenai insiden tersebut.
“Polis memberi amaran keras terhadap penyebaran kandungan berbaur 3R (agama, bangsa, diraja) yang boleh mencetuskan kegusaran awam,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















