Menteri Luar Negeri yang juga Ahli Parlimen Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA.

KUALA LUMPUR – Seramai 13 rakyat Malaysia dilaporkan masih berada di Iran dan enggan pulang ke tanah air walaupun kerajaan telah menasihati serta menawarkan bantuan untuk membawa mereka keluar susulan situasi keselamatan yang tidak menentu di negara itu.

Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, daripada jumlah tersebut, dua atau tiga individu merupakan pelajar yang telah diberikan nasihat sewajarnya oleh pihak kerajaan.

Bagaimanapun katanya, mereka memilih untuk terus berada di Iran atas alasan tersendiri.

“Kita sudah beri nasihat dan tawaran untuk bawa pulang lebih awal, tetapi mereka tidak mahu balik. Jadi mereka masih berada di sana,” katanya pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) yang meminta kerajaan menyatakan penilaian Wisma Putra tentang kemungkinan berlakunya konflik bersenjata antara Iran dengan Amerika Syarikat serta implikasi terhadap keselamatan
serantau.

Mengulas lanjut Mohamad berkata, kesemua 13 individu terbabit juga telah menandatangani surat indemniti sebagai aku janji bahawa kerajaan Malaysia tidak boleh dipersalahkan sekiranya berlaku sebarang insiden tidak diingini.

Beliau turut menasihatkan rakyat Malaysia supaya tidak berkunjung ke Iran dalam keadaan semasa kecuali mempunyai urusan yang benar-benar penting.

“Kalau tiada urusan penting, jangan pergi ke sana. Apa sahaja kemungkinan boleh berlaku dan ia akan menyusahkan banyak pihak,” katanya.

Mohamad berkata, pengalaman lalu membuktikan situasi di rantau berkenaan boleh berubah secara mendadak, termasuk insiden pengeboman loji nuklear tahun lalu yang memaksa kerajaan melaksanakan pelan evakuasi kecemasan.

Jelasnya, dalam operasi tersebut, rakyat Malaysia terpaksa melalui perjalanan darat sejauh lebih 1,200 kilometer dari Tehran ke Ashgabat, ibu negara Turkmenistan, sebelum dibawa pulang ke tanah air.

“Kali ini kita tidak melaksanakan pelan evakuasi kerana kita bertindak lebih awal dengan memanggil mereka pulang. Kita buat rundingan dan bawa balik lebih awal,” katanya.

Beliau sekali lagi mengingatkan rakyat Malaysia agar mempertimbangkan semula hasrat untuk ke Iran dalam tempoh terdekat dan sekiranya perlu ke luar negara, memilih destinasi lain yang lebih selamat seperti Dubai atau Doha. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast