KUALA LUMPUR – Naib Ketua UMNO Bahagian Seremban, Datuk Mohd Asna Amin menggesa tindakan tegas tanpa kompromi diambil terhadap individu yang didakwa memijak al-Quran, sambil menyifatkan perbuatan itu sebagai melampau dan biadab.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan menegaskan, insiden berkenaan lebih mengecewakan apabila ia dilakukan ketika umat Islam sedang menunaikan ibadah puasa pada bulan Ramadan.
“Perbuatan memijak al-Quran adalah perbuatan melampau dan biadab. Perlu dipastikan individu ini didakwa dan menerima hukuman yang lebih berat. Tiada kompromi,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Menurut beliau, tindakan memaparkan gambar memijak al-Quran bukan sahaja menghina kitab suci umat Islam, malah turut dianggap sebagai satu penghinaan terhadap institusi Raja-Raja Melayu selaku Ketua Agama Islam di negara ini.
“Saya menggesa pihak polis mengambil tindakan tegas terhadap individu terbabit. Perbuatan tersebut bukan sahaja memijak al-Quran malah telah menghina institusi Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam,” katanya.
Selain itu, katanya, tujuan individu berkenaan memaparkan gambar tersebut amat membimbangkan kerana ia berpotensi mewujudkan persengketaan perkauman serta menyentuh isu 3R yang serius sehingga menyakiti perasaan umat Islam di negara ini.
“Walaupun dia rakyat Malaysia, kerana sakit hati dia sanggup menghina al-Quran dan umat Islam. Tindakan seperti ini boleh mencetuskan ketegangan antara kaum jika tidak ditangani segera,” katanya.
Beliau bagaimanapun percaya perbuatan tersebut tidak mewakili mana-mana kaum bukan Islam di negara ini.
“Saya pasti perbuatan individu tersebut tidak mewakili mana-mana kaum bukan Islam kerana tiada manusia waras yang akan melakukan perkara sekeji itu,” katanya.
Asna turut mengingatkan pertikaian berlebihan terhadap isu sensitif boleh membawa kesan yang dahsyat, lebih-lebih lagi jika masyarakat bertindak dalam keadaan marah.
“Jika isu sensitif dipertikai secara keterlaluan, kesannya sangat dahsyat dan apabila kita bertindak dengan semangat marah, akibatnya juga sangat buruk,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum yang dibentuk sejak sekian lama tidak harus digugat oleh tindakan segelintir individu tidak bertanggungjawab.
“Realiti keharmonian masyarakat berbilang kaum bertamadun tinggi berjaya dibentuk hasil kepimpinan kerajaan terdahulu.
“Malaysia adalah bukti kita hidup dalam berlainan agama dan kepercayaan tetapi masih dapat berkumpul bersama-sama dan hidup dalam perpaduan dalam satu negara,” katanya lagi. -MalaysiaGazette
















