KUALA LUMPUR — Tindakan seorang mahasiswa Universiti Malaysia Sultan Haji Ahmad Shah (UMPSA) yang didakwa memijak al-Quran sehingga kejadian itu tular di media sosial disifatkan sebagai perbuatan melampau, tidak wajar dan mencemarkan nama institusi pengajian tinggi.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, menegaskan bahawa perbuatan sedemikian merupakan penghinaan serius terhadap agama Islam dan langsung tidak mencerminkan adab, nilai kemanusiaan serta tahap keintelektualan seorang penuntut.
Beliau menegaskan bahawa penghinaan terhadap agama bukan sahaja bersifat provokatif tetapi lebih memburukkan keadaan apabila ia dirakam dan disiarkan kepada umum.
“Tindakan sedemikian tidak boleh diterima oleh mana-mana pihak, khususnya masyarakat Islam di negara ini, kerana ia mencetuskan kemarahan, kegelisahan awam serta berpotensi mengganggu keharmonian masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata al-Quran adalah wahyu Allah SWT yang suci dan menjadi pedoman umat Islam.
Menjaga kehormatan kita suci itu adalah kewajipan setiap umat Islam, lebih-lebih lagi apabila kejadian berlaku dalam bulan Ramadan, bulan yang dimuliakan dan dikaitkan dengan turunnya al-Quran.
“Perbuatan ini sepatutnya mengajak manusia kepada taubat dan kemuliaan akhlak, bukannya penghinaan,” tegas beliau.
Sehubungan itu, beliau menyeru kerajaan bertindak tegas dan menilai semula kerangka perundangan sedia ada supaya kesalahan penghinaan terhadap agama dapat ditangani dengan lebih berkesan.
“Penguatkuasaan konsisten serta hukuman yang setimpal amat penting bagi mencegah perbuatan serupa berulang, katanya.
Tuan Ibrahim juga menyeru umat Islam agar bertenang, bersatu, dan mempertahankan kemuliaan Islam melalui saluran yang betul serta berhemah.
Beliau menekankan kepentingan pendekatan berhemah untuk mengekalkan ketenteraman awam, keselamatan negara dan keharmonian antara kaum dan agama.
“Kepada seluruh rakyat Malaysia, marilah kita berpegang teguh kepada Rukun Negara sebagai asas pembinaan sebuah negara yang aman, adil dan harmoni,” katanya lagi.
Semalam, pelajar yang memuat naik gambar memijak al-Quran mengaku berbuat demikian dalam keadaan marah serta dipengaruhi perasaan dendam.
Lelaki itu turut memohon maaf dan mengakui perbuatannya merupakan kesilapan besar yang jelas tidak menghormati kesucian agama Islam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah, mengesahkan individu berkenaan direman empat hari bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette
















