KUALA LUMPUR – Seramai 39 anak yatim diraikan Fourkay Gold, syarikat peneraju industri pembelian emas gadaian di Malaysia yang komited memperkukuh komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) sempena Ramadan dan persiapan menyambut Aidilfitri.
Program yang memilih Yayasan Anak Yatim dan Kebajikan Murid Islam Semenyih (Yayakem) itu melibatkan sumbangan pakaian berupa baju Melayu dan baju kurung, pemberian ruit raya serta majlis berbuka puasa yang diadakan di Le Méridien Putrajaya, semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif Fourkay Gold, Mohamad Sanusi Mohd Isa berkata, sebagai syarikat pertama dalam industri pembelian emas gadaian yang memiliki Sijil Kepatuhan Syariah, pihaknya memikul tanggungjawab yang lebih besar untuk memastikan setiap kejayaan perniagaan turut memberi nilai tambah kepada masyarakat.
Menurut beliau, inisiatif santuni Ramadan itu sekali lagi memperlihatkan usaha syarikat dalam memastikan pertumbuhan perniagaan berjalan seiring dengan tanggungjawab sosial yang berimpak dan berterusan kepada komuniti.
“CSR bukan sekadar inisiatif bermusim tetapi sebahagian daripada falsafah korporat kami bahawa perniagaan yang berkat adalah perniagaan yang memberi manfaat.
“Kami melihat kepentingan membantu golongan yang memerlukan disamping memberi kegembiraan kepada mereka lebih-lebih lagi dalam bulan mulia dan syawal yang bakal tiba.
“Pendekatan berteraskan syariah bukan sahaja diterjemahkan dalam struktur transaksi dan operasi syarikat, malah merangkumi budaya organisasi yang menekankan nilai ihsan, empati dan kesejahteraan komuniti,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sementara itu, Timbalan Yang Di-Pertua Yayakem, Datuk Mohd Alias Mat Saman turut berkongsi keterujaan dan menyifatkan penglibatan Fourkay Gold dalam berkongsi kegembiraan dan rezeki bersama anak-anak yatim yang sedikit sebanyak memberikan sinar harapan kepada mereka.
Dalam pada itu, sebagai perintis dalam memperkenalkan pensijilan kepatuhan syariah dalam sektor pembelian emas gadaian, Fourkay Gold turut menetapkan piawaian baharu industri dari segi ketelusan harga dan penilaian emas, struktur transaksi yang adil dan sah, tadbir urus korporat beretika serta operasi patuh syariah yang disahkan.
Sehingga kini, syarikat itu telah membantu lebih 30,000 pelanggan di seluruh negara mendapatkan solusi kecairan tunai secara selamat, profesional dan bertanggungjawab.
Beroperasi di IOI Conezion Commercial, Putrajaya, Fourkay Gold menyatakan komitmen berterusan untuk memperkukuh jenama sebagai rakan kewangan yang dipercayai masyarakat, di samping memainkan peranan aktif dalam pembangunan sosial negara. – MalaysiaGazette

















