Logo Kumpulan Wang Simpanan Pekerja

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa supaya mempertimbangkan semula agihan dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi tahun 2025 sebanyak 6.15 peratus yang diumumkan untuk disalur ke Akaun 3 dan bukan sepenuhnya ke Akaun 1 demi memberi akses lebih langsung kepada pencarum yang memerlukan.

Pengerusi Persatuan Hak Konsumer Sejahtera (HAKS), Shahir Adnan berkata, KWSP telah mengumumkan kadar dividen 6.15 peratus bagi Simpanan Konvensional dan Syariah dengan jumlah agihan keseluruhan RM79.6 bilion.

Bagaimanapun, katanya, kesemua dividen tersebut akan dimasukkan ke dalam Akaun 1 yang tidak boleh dikeluarkan sekali gus menyukarkan pencarum memanfaatkan pulangan tersebut dalam keadaan mendesak.

“Dianggarkan seramai 130,000 pencarum yang mempunyai simpanan melebihi RM1 juta bakal menerima dividen sekitar RM61,500 seorang, menjadikan jumlah keseluruhan hampir RM8 bilion bagi kumpulan berkenaan sahaja.

“Jumlah minimum RM8 bilion ini atau keseluruhan RM79.6 bilion hanya terpampang dalam akaun pencarum dan tidak dapat diakses kecuali oleh Kerajaan Madani.

“Justeru, saya memohon jasa baik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mempertimbangkan semula agihan dividen ini ke Akaun 3,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahir Adnan

Pada masa sama, Shahir mencadangkan agar isu KWSP dibahaskan secara menyeluruh di Dewan Rakyat supaya semua Ahli Parlimen dapat mengemukakan pandangan, cadangan serta pendekatan terbaik demi memastikan keputusan yang diambil benar-benar berpihak kepada kepentingan rakyat dan masa depan pencarum.

HAKS turut menegaskan akan terus menyuarakan isu berkenaan termasuk menggesa agar had pengeluaran minimum diturunkan daripada RM1.1 juta kepada RM1 juta seperti sebelum ini.

“Pencarum perlu diberikan hak untuk menggunakan simpanan sendiri. Isu KWSP ini merupakan isu prinsip dan keadilan sosial,” tegasnya.

Sehubungan itu beliau berkata, HAKS yang mewakili suara pencarum KWSP menyeru Kementerian Kewangan agar menarik balik cadangan menaikkan had pengeluaran demi masa depan negara dan kesejahteraan rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast