KUALA LUMPUR – Kekurangan hampir 54,000 jurutera setahun membuka lembaran baharu dalam landskap pendidikan negara apabila graduan tahfiz profesional kini dilihat sebagai antara penyelesaian strategik kepada keperluan industri berteknologi tinggi.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, industri memerlukan kira-kira 60,000 jurutera setiap tahun, namun negara hanya mampu melahirkan sekitar 6,000 graduan dalam tempoh sama.
Menurut beliau, jurang ketara itu menuntut pendekatan luar kebiasaan termasuk memperkasa model pendidikan integrasi tahfiz dan teknikal bagi memenuhi permintaan pasaran kerja.
“Tidak perlu beri jaminan khusus kerana kebolehpasaran mereka memang 100 peratus. Permintaan industri terlalu tinggi dan kita bekerjasama rapat dengan syarikat-syarikat multinasional (MNC),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Gen Hufaz Teknokrat MARA 2026 dan Santuni Kasih Ramadan di Masjid Wilayah Persekutuan, hari ini.
Hadir sama Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menegaskan, lepasan tahfiz hari ini bukan sekadar menghafaz 30 juzuk al-Quran, sebaliknya turut mengikuti pengajian profesional dalam bidang strategik seperti kejuruteraan, kecerdasan buatan (AI), Internet of Things (IoT), robotik dan teknologi kenderaan elektrik (EV).
Program tersebut dilaksanakan menerusi institusi pendidikan di bawah MARA serta universiti teknikal termasuk Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan rangkaian Malaysian Technical University Network (MTUN).
Ahmad Zahid berkata, pendekatan bersepadu itu bukan sahaja melahirkan tenaga mahir berkemahiran tinggi, malah membentuk modal insan seimbang yang menguasai ilmu agama dan teknologi.
Kerajaan sebelum ini menyasarkan untuk melahirkan 125,000 hufaz profesional dan teknokrat menjelang 2050 melalui peluasan program melibatkan tujuh universiti MTUN di seluruh negara.
Tambah beliau, dengan sokongan industri dan kerjasama strategik MNC, graduan tahfiz profesional diyakini mampu menjadi pemangkin baharu kepada agenda perindustrian dan transformasi digital negara.
“Jika ianya terus dipantau dan ianya terus diberikan galakan kejayaan ni akan dapat dicapai sebelum waktu dan matalamat akhir pada tahun 2020,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















