Ruslin Jusoh

 

KUALA LUMPUR – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menyerahkan proses siasatan dua kakitangannya yang disyaki meminta dan menerima rasuah sebagai balasan membawa masuk barang terlarang untuk penghuni pusat pemulihan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, AADK komited untuk memberikan kerjasama sepenuhnya dalam siasatan tersebut dan sama sekali tidak akan berkompromi mahu pun melindungi mana-mana kakitangan yang terlibat dalam salah laku dan pelanggaran integriti yang boleh menjejaskan reputasi agensi serta perkhidmatan awam.

Bahkan, tegas beliau, AADK memandang insiden ini sebagai satu perkara yang memerlukan perhatian serius.

“AADK akan memberikan kerjasama sepenuhnya dan akses kepada segala maklumat yang diperlukan oleh pihak SPRM bagi memastikan siasatan dapat diselesaikan dengan telus, adil, dan menyeluruh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selari dengan prinsip tadbir urus yang baik, AADK juga akan mengambil tindakan dalaman yang sewajarnya berdasarkan Peraturan- Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993,

AADK akan membuat penilaian serta menambah baik keberkesanan Prosedur Operasi Standard di fasiliti AADK bagi menutup sebarang ruang yang boleh dimanipulasi oleh mana-mana pihak pada masa hadapan.

Malah, AADK bertekad sepenuhnya untuk membanteras sebarang bentuk salah laku dan rasuah dalam kalangan warga kerja secara
menyeluruh.

“Tindakan paling tegas dan agresif akan diambil terhadap mana-mana kakitangan yang terbukti terlibat dalam kes pelanggaran integriti dan berdepan tindakan perundangan serta boleh dibuang kerja sekiranya didapati bersalah,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast