Kepulan asap daripada serangan Iran yang dilaporkan di daerah perindustrian Doha pada 1 Mac 2026. Foto: AFP

KUALA LUMPUR – Kedutaan Besar Malaysia di Doha, Qatar, memaklumkan bahawa keadaan keselamatan di Qatar dan rantau Teluk masih belum stabil sepenuhnya susulan perkembangan terkini di rantau itu.

Kedutaan dalam satu notis kepada rakyat Malaysia di negara berkenaan pada Isnin, memaklumkan isiden terbaharu dilaporkan berlaku di kawasan industri Ras Laffan dan Mesaieed, namun hanya melibatkan kerosakan kecil.

“Oleh itu, semua rakyat Malaysia di Qatar adalah dinasihatkan untuk terus berwaspada dan TIDAK KELUAR, kecuali untuk urusan mustahak sahaja,” menurut notis itu yang dimuat naik di Facebook Kedutaan itu.

Sementara itu, menerusi hantaran berlainan, kedutaan memaklumkan satu proses pengumpulan data sedang dijalankan bagi mengemas kini rekod rakyat Malaysia yang berada atau terkandas di Qatar bagi memastikan maklumat terkini dan lengkap dapat diperoleh.

“Langkah itu bertujuan membolehkan maklumat penting disalurkan dengan lebih cepat dan tepat sekiranya diperlukan,” katanya.

Pautan itu boleh diakses di laman Facebook rasmi Kedutaan.

Ketegangan di Timur Tengah memuncak pada Sabtu apabila Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran yang mengorbankan beberapa pegawai kanan Iran, termasuk Pemimpin Agung Ayatollah Ali Khamenei.

Sebagai tindak balas, Tehran telah melancarkan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan ke atas Israel dan aset AS di negara Teluk. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast