Bekas Menteri, P Waytha Moorthy Ponnusamy bercakap pada sidang media mengenai kes saman pemula terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 03 MAC 2026.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 18 Mac ini bagi tarikh keputusan permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membatalkan saman pemula P. Waytha Moorthy mengenai pelantikannya sebagai Perdana Menteri pada 2022.

Hakim Alice Loke Yee Ching menetapkan tarikh demikian setelah mendengar hujah daripada peguam, Nicholas Yap yang mewakili Anwar dan peguam, S. Karthigesan bagi pihak bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.

Prosiding hari ini juga dihadiri Peguam Persekutuan, Mohammad Sallehuddin Md Ali dari Jabatan Peguam Negara (AGC) bertindak selaku amicus curiae (sahabat mahkamah).

Pada 10 Oktober 2025, Anwar memohon untuk membatalkan saman pemula itu atas alasan ia melanggar pelbagai prosedur dan keperluan perlembagaan serta berkanun lain mandatori, yang ditetapkan untuk mencabar atau mempersoalkan keputusan pilihan raya.

Anwar menegaskan, saman berkenaan tidak berasas dan tidak mendedahkan kausa tindakan yang munasabah serta menyalahgunakan proses mahkamah.

Pada 12 Ogos tahun lalu, Waytha Moorthy selaku plaintif memfailkan saman pemula bagi perisytiharan bahawa pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022 tidak berperlembagaan, terbatal dan tidak sah.

Waytha turut memohon perisytiharan pemilihan Anwar sebagai Ahli Parlimen Tambun dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) juga tidak berperlembagaan, terbatal dan tidak sah.

Pada 14 Ogos 2025, AGC dalam kenyataan media memaklumkan tidak timbul sebarang isu kehilangan kelayakan Anwar sebagai Ahli Dewan Rakyat dan Perdana Menteri.

Ini kerana Perintah Pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-15 menyatakan bahawa Anwar telah diberikan pengampunan sepenuhnya dan dianggap sebagai seorang yang tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan.

Kata AGC lagi, sebarang cabaran terhadap pemilihan seseorang Ahli Parlimen seharusnya melalui petisyen pilihan raya sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan dan hendaklah difailkan dalam tempoh sebagaimana yang ditetapkan di bawah Seksyen 38 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast