Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar menunjukkan wajah suspek susulan kes kegiatan curi kabel di sekitar Seksyen 3 pada sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam. Foto MUHAIMIN MARWAN, 2 Mac 2026.

SHAH ALAM – Polis memburu tiga lagi anggota sindiket curi kabel dalam kejadian di Seksyen 3 di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, setakat ini, seramai sembilan suspek ditahan menerusi beberapa siri serbuan Op Kabel Viral yang dilakukan pada 23 dan 26 Febuari lalu.

Menurutnya, suspek berkenaan ditahan dalam serbuan di beberapa lokasi berasingan di sekitar Dengkil, Sungai Petani dan Ipoh.

“Serbuan tersebut membawa penahanan seramai enam lelaki dan tiga perempuan warga tempatan yang berumur antara 19 hingga 44 tahun,” katanya ketika sidang media Kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJN) di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Shah Alam, hari ini.

Jelas beliau, sindiket tersebut menyamar sebagai pekerja TM untuk mengaburi mata pihak berkuasa dan masyarakat.

“Sindiket ini juga didapati menggunakan kelengkapan penyamaran seperti vest, baju berlogo TM, lampu beacon serta topi keselamatan bagi melindungi aktiviti dan mengaburi mata masyarakat dan pihak berkuasa,” ujarnya.

Menurut beliau, sebahagian besar daripada anggota sindiket itu merupakan penjenayah tegar dengan beberapa rekod lampau kes curi, samun serta penyalahgunaan dadah.

Tambahnya, dua daripada suspek juga merupakan individu dikehendaki (wanted person) bagi kes di Subang dan Perak.

“Hasil ujian air kencing mengesahkan ketujuh-tujuh suspek positif dadah jenis Amphetamine dan THC,” ujarnya.

Antara barang rampasan kes kegiatan curi kabel di sekitar Seksyen 3 pada sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam. Foto MUHAIMIN MARWAN, 2 Mac 2026.

Tambah beliau, kesemua suspek akan dituduh esok di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 414 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Shazeli berkata, polis turut menyita pelbagai aset yang digunakan dalam kegiatan tersebut iaitu kereta jenama BMW, Nissan Navara dan sebuah lori selain salinan resit bank berjumlah RM60,000.

“Turut dirampas dua batang kabel serta 20 unit kulit kabel milik syarikat telekomunikasi (TM) bersama peralatan jenayah antaranya pemotong kabel, kapak dan besi pembuka lubang penyelenggaraan yang telah diubah suai,” katanya.

Sementara itu, beliau merakamkan penghargaan kepada masyarakat yang memberikan kerjasama menyalurkan maklumat kepada pihak polis sehingga suspek-suspek berjaya ditahan.

Untuk rekod, tindakan sekumpulan lelaki dipercayai aktif mencuri kabel sejak tahun lalu akhirnya terbongkar selepas rakaman video memaparkan kegiatan mereka tular di media sosial baru-baru ini.

Rakaman tersebut menunjukkan beberapa individu menggunakan beberapa kenderaan termasuk sebuah pacuan empat roda dipercayai sedang melakukan kegiatan itu pada waktu malam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast