Petugas bergambar bersama logo Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di Menara 2 MCMC, Cyberjaya. Foto SADIQ SANI, 03 MAC 2026.

CYBERJAYA – Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) berjaya menyelamatkan lebih RM34.05 juta dana orang awam daripada jatuh ke tangan sindiket penipuan dalam talian sejak ia beroperasi pada 7 Oktober 2022.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, dari jumlah itu, terdapat lonjakan pemulangan dana kepada mangsa daripada RM508,479.39 pada 2024 kepada RM6,649,171.03 pada 2025. 

“Sepanjang 2025, NSRC mengendalikan sebanyak 146,167 panggilan aduan serta melaksanakan tindakan pembekuan terhadap 138,915 akaun yang terlibat.

“Sehingga Januari 2026, sebanyak RM1,443,533.40 berjaya disita melalui tindakan pembekuan awal,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Anwar Ibrahim diringi Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail; Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha Negare, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menurunkan tandatangan ke atas plak perasmian pada Majlis Perasmian dan Penyerahan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di Menara 2 MC MC, Cyberjaya. Foto SADIQ SANI, 03 MAC 2026

Terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan NSRC di Menara 2, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Turut hadir Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.

NSRC yang sebelum ini ditempatkan di Bank Negara Malaysia (BNM), kini dipindahkan dan beroperasi sepenuhnya di bangunan MCMC di sini selama 24 jam sehari, tujuh hari seminggu.

Ia sebagai bukti komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam membanteras jenayah siber melalui pengukuhan pengoperasian NSRC.

Saifuddin juga berkata, sejak NSRC beroperasi sepenuhnya di Menara 2 MCMC, pusat itu menerima panggilan sehingga 35,322 aduan kes penipuan setakat Januari lalu.

“Kita jangkakan kalau angka ini berterusan 35,322 akan menyaksikan peningkatan yang berganda berbanding dengan jumlah panggilan tahun ini. 

“Jumlah panggilan ini menjadi satu kayu ukur tentang keyakinan awam terutama mangsa untuk mengadu apabila kes ini berlaku kepada mereka,” katanya.

Saifuddin juga memberitahu, Perdana Menteri mahu semua pihak meningkatkan kesedaran tentang bahayanya sindiket penipuan dalam talian.

“Menyemai keyakinan awam adalah urusan yang sangat penting. Tadi disebut oleh Perdana Menteri dalam taklimat ringkas beliau kepada petugas kita.

“Perdana Menteri menekankan tentang peri pentingnya program meningkatkan kesedaran agar kita jangan sampai terlibat, kadang-kala didorong oleh sikap tamak,” katanya lagi. – MalaysiaGazette 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast