KUANTAN – Pelajar universiti tempatan yang memijak al-Quran dan membuat hantaran jelik melampau di laman media sosialnya baru-baru ini tidak mengaku bersalah atas dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.
Tertuduh, K. S. Vikneswaran, 21 membuat pengakuan itu di hadapan Hakim, Harmi Thamri Mohamad selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Bagi pertuduhan pertama, pemuda itu didakwa telah mencemarkan suatu benda yang dipegang suci oleh penganut agama Islam iaitu sebuah al-Quran dengan niat hendak mengaibkan agama Islam.
Kesalahan itu didakwa dilakukannya pada 22 Februari lalu kira-kira pukul 1.30 petang di Lorong Seri Mahkota Aman 13, Jalan Gambang, Taman Seri Mahkota Aman, di sini.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum dengan penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, dia didakwa pada tarikh dan masa yang sama melalui aplikasi Threads “Ryandaselva” secara sedar membuat dan melakukan penghantaran komunikasi yang jelik melampau sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (2) Akta sama iaitu denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan denda selanjutnya sebanyak RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan jika dia bersalah.
Kes dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Pahang, Shahrizat Ismail dan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aisyah Abdul Wahab, manakala tertuduh diwakili Peguam, Muhammad Amirull Afiqq Mohamad Lokman dan Mohd Rusnizam Abdullah.
Dalam hujahannya, Shahrizat memohon agar mahkamah mengenakan wang jaminan sebanyak RM50,000 kepada tertuduh mengambil kira kesalahan yang dilakukan.
Bagaimanapun, Muhammad Amirull Afiqq dalam hujahan belanya meminta Mmhkamah membenarkan wang jaminan keseluruhan sebanyak RM10,000 memandangkan wang jaminan bukanlah denda atau hukuman atas kesalahan, sebaliknya berfungsi sebagai cagaran atau jaminan sementara bagi memastikan kerjasama tertuduh dan penjamin sepanjang perbicaraan berlangsung.
“Tertuduh merupakan seorang pelajar di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, ditanggung bapanya berusia 59 tahun yang turut menanggung isteri yang berusia 56 tahun dan seorang anak perempuan yang berusia 28 tahun dengan pendapatan sebagai seorang penternak ikan kira-kira RM5,000 sebulan.
“Pihak tertuduh dan penjamin akan memberi komitmen dan kerjasama sepenuhnya. Buktinya, ayah dia sendiri membuat laporan polis yang membawa kepada tangkapan anaknya itu pada pukul 3 pagi. Ayahnya membawa anaknya ke balai polis, jadi tiada isu berkenaan kerjasama daripada ayahnya.
“Tertuduh juga telah ditahan selama empat hari dan disambung reman selama tiga hari, keseluruhan tempoh selama tujuh hari. Sepanjang siasatan dilakukan, mereka telah memberi kerjasama penuh.
“Ibunya juga datang ke balai polis untuk beri keterangan dan selaku individu yang empunya telefon bimbit yang mana hantaran tular itu dibuat, dia telah menyerahkan telefon itu kepada pihak polis untuk siasatan.
“Kakaknya juga pulang daripada Johor Bahru untuk beri kerjasama kepada polis. Bagaimana mungkin tertuduh nak melarikan diri?” jelasnya.
Ketika hujahan mitigasi rayuan pengurangan jaminan juga, beliau turut menyerahkan nota daripada pihak klinik yang menyatakan Vikneswaran pernah mendapatkan rawatan berkaitan kesihatan gangguan psikologi ketika berusia 15 tahun.
Meskipun pihak Pendakwa Raya tidak menafikan jumlah permohonan itu sebagai munasabah, katanya, kesalahan yang dilakukan adalah serius dan disifatkan sebagai berprofil tinggi yang menimbulkan kegusaran awam.
Bagaimanapun, Hakim bersetuju dengan pihak peguam tertuduh bahawa tujuan wang jaminan dikenakan adalah sebagai jaminan kedatangan dan kerjasama pihak tertuduh sepanjang perbicaraan diadakan.
Sehubungan itu, beliau membenarkan wang jaminan berjumlah RM10,000 terhadap tertuduh bagi kedua-dua kesalahan tersebut dengan seorang penjamin selain syarat dia perlu melapor diri di Balai Polis Jaya Gading pada setiap 1 hari bulan setiap bulan.
Hakim Harmi Thamri juga menetapkan tarikh 8 April 2026 untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. – MalaysiaGazette
















