SEGAMAT – Polis sedang mengesan seorang lelaki yang melakukan onani dalam keadaan separuh bogel sambil memandang seorang wanita dalam sebuah masjid di Bukit Siput di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Jumazanzahir Chek Ismail berkata, pihaknya menerima aduan kejadian tersebut pada pukul 6.29 petang daripada seorang wanita tempatan.
“Mangsa yang berumur 40 tahun memaklumkan perbuatan kelucahan melampau itu dalam masjid berkenaan.
“Semasa kejadian pada pukul 11.15 pagi, mangsa sedang menunaikan solat Dhuha dan datang seorang lelaki yang tidak dikenali dalam keadaan separuh bogel dan melakukan onani sambil memandang mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bimbang dengan keselamatan diri, mangsa bertindak melarikan diri dari masjid tersebut.
“Hasil siasatan mendapati kamera litar tertutup tempat kejadian berjaya merakam perbuatan suspek,” katanya.
Tambah beliau, suspek disyaki seorang lelaki warga asing berumur lingkungan 30 tahun, berbadan kurus dan berkulit cerah.
Pihak polis sedang giat menjalankan usaha mengesan dan menangkap suspek.
Kes disiasat bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama dua tahun.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat 07-9324222 atau mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette
















