KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan simpati dan solidariti Malaysia terhadap rakyat Iran dalam menghadapi saat yang amat sukar ketika ini.
Menurut Perdana Menteri, perkara itu disampaikan ketika mengadakan perbincangan dengan Menteri Luar Iran, Seyed Abbas Araghchi semalam.
Katanya, dalam perbualan telefon tersebut, beliau turut menyampaikan ucapan takziah di atas nyawa rakyat Iran yang terkorban, termasuk Pemimpin Agung Iran, Ali Khamenei serta 165 orang pelajar akibat serangan rejim Israel bersama Amerika Syarikat (AS) di Tehran baru-baru ini.
“Malaysia turut menegaskan pendirian tegas terhadap sebarang tindakan ketenteraan yang mencabuli kedaulatan sesebuah negara, di samping menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap implikasi konflik yang berpanjangan terhadap keamanan, kestabilan dan kesejahteraan global,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Tambah Anwar, perbincangan bersama Araghchi juga menyentuh keperluan mendesak untuk meredakan ketegangan, memperkukuh usaha diplomasi serta mencari jalan damai bagi menamatkan konflik yang sedang melanda rantau tersebut.
Katanya, ia termasuk isu Palestin yang terus menuntut perhatian masyarakat antarabangsa. – MalaysiaGazette
















