Mangsa ditemui dalam keadaan lemah akibat terperangkap selama dua hari dalam perigi berkenaan.

BUTTERWORTH – Seorang gelandangan warga emas yang terjatuh ke dalam sebuah perigi berhampiran restoran nasi kandar di Jalan Telok Air Tawar di sini, ditemui dalam keadaan lemah selepas hampir dua hari terperangkap di lokasi berkenaan.

Lelaki berusia 63 tahun itu ditemui dalam keadaan keletihan sebelum berjaya dikeluarkan dari perigi anggaran kedalaman lima meter dengan bantuan orang awam yang berada di kawasan terbabit.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian itu pada jam 5.29 petang.

Menurutnya, sebaik anggota bomba tiba di lokasi, mangsa sudah pun dibawa keluar dari perigi terbabit dengan bantuan orang awam.

“Mangsa dipercayai pergi ke perigi berkenaan untuk mandi sebelum terjatuh dan terperangkap selama hampir dua hari.

“Mangsa mengalami kecederaan ringan dan berada dalam keadaan keletihan akibat kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan media malam tadi.

Tambah beliau, mangsa kemudian diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Seberang Jaya oleh petugas Kementerian Kesihatan untuk mendapatkan rawatan lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast