KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa simpati serta sokongan Malaysia kepada Kuwait dan Oman yang berdepan cabaran terhadap kedaulatan, keselamatan dan infrastruktur negara berkenaan akibat konflik di Asia Barat.
Menurut Perdana Menteri, perkara itu disampaikan beliau menerusi perbualan telefon dengan Perdana Menteri Kuwait, Sheikh Ahmad Abdullah Al-Ahmad Al-Sabah dan Menteri Luar Oman, Sayyid Badr Albusaidi.
Katanya, beliau turut bertukar pandangan bersama dua pemimpin negara berkenaan mengenai perkembangan semasa di rantau Asia Barat susulan konflik yang melibatkan Israel-Amerika Syarikat (AS) dan Iran.
Tambah beliau, pada kesempatan itu juga, beliau turut menyampaikan penghargaan dan komitmen kedua-dua kerajaan dalam memastikan keselamatan serta kebajikan rakyat Malaysia yang berada di sana.
Selain itu, ujarnya, Malaysia turut menyanjungi usaha murni Oman yang berusaha keras menjayakan proses mediasi di antara Kerajaan AS dan Iran.
“Kami sependapat bahawa semua pihak perlu mengutamakan pendekatan damai dan menahan diri daripada tindakan yang boleh menjejaskan kestabilan serantau.
“Semoga keberkatan Ramadan memperkukuh perpaduan ummah serta membuka jalan ke arah keamanan dan kestabilan yang lebih berkekalan,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau malam ini. – MalaysiaGazette
















