Kenderaan pacuan empat roda yang dicuri.

KUALA LUMPUR – Polis Labuan menahan seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun disyaki terlibat dalam kes kecurian sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda di hadapan Balai Raya Kampung Sungai Miri.

Ketua Polis Daerah Labuan, Supt Mohd Hamizi Halim berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian daripada mangsa, seorang lelaki tempatan, 63 kira-kira jam 10.29 pagi selepas mendapati kenderaan miliknya dicuri individu tidak dikenali.

Jelasnya, kenderaan tersebut ditinggalkan dalam keadaan tidak berkunci lalu pergi ke laut untuk menangkap ikan.

Ujarnya, dua saksi awam yang berada di kawasan berhampiran melihat seorang lelaki melarikan kenderaan tersebut kira-kira jam 8 pagi.

“Kedua-dua saksi kemudian bertindak mengejar suspek sehingga kenderaan yang dipandu suspek terbabas dan melanggar tiang elektrik,” katanya menerusi kenyataan.

Mengulas lanjut tambahnya, suspek yang sempat melarikan diri kemudian berjaya ditahan oleh orang awam di kawasan Labuan International Golf Club dan diserahkan kepada pihak Polis.

“Kes disiasat bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.

“Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak lebih tujuh tahun serta denda,” tambahnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast