Empat direman bagi membantu siasatan kes serangan terhadap Zamri Vinoth di Mahkamah Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.

BUKIT MERTAJAM – Empat rakan direman selama dua hari oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi membantu siasatan kes serangan terhadap pendakwah bebas, Zamri Vinoth.

Perintah reman terhadap empat lelaki berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun itu dikeluarkan Majistret Roshayati Radellah selepas polis memohon reman selama empat hari bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Masing-masing yang terdiri daripada dua jurutera, juruteknik dan pemandu van itu direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan 506 akta sama.

Kesemua mereka diwakili tiga barisan peguam yang diketuai V. Parthiban dikatakan hadir menyerah diri kepada pihak polis kira-kira jam 1 pagi tadi sebelum ditahan untuk siasatan lanjut.

Sementara itu di luar kamar mahkamah, Parthiban memaklumkan pihak pembelaan hari ini sekali lagi menunjukkan rakaman video kejadian yang tular kepada majistret.

“Pengadu mendakwa penyerangnya memegang batu dan kayu tetapi jelas dalam rakaman video tiada sesiapa memegang apa-apa.

“Selain itu, rakaman sama juga menunjukkan orang yang didakwa menyerangnya tertumpu di bahagian pemandu kereta, namun Zamri mendakwa kerosakan berlaku di bahagian kiri kenderaan.

“Justeru kami berhujah bahawa Seksyen 506 Kanun Keseksaan berkaitan ugutan jenayah tidak terpakai dalam kes tersebut,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Seorang lagi direman kes serang Zamri Vinoth

Pekerja kilang direman 4 hari bantu siasatan serang Zamri Vinoth

Terdahulu, kesemua suspek itu tiba di mahkamah kira-kira jam 8.35 pagi dengan berpakaian lokap serta diiringi polis.

Sebelum ini, dua beradik direman secara berasingan bagi membantu siasatan kes sama, namun kedua-duanya telah dibebaskan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast