Pravin Murali

KUALA LUMPUR – Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Pravin Murali menggesa pihak berkuasa bertindak lebih tegas dan tanpa kompromi terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang cuba menimbulkan provokasi melibatkan isu agama, kaum dan institusi diraja (3R).

Menurut beliau, sebarang cubaan memainkan sentimen sensitif demi kepentingan tertentu tidak boleh dipandang ringan kerana ia berpotensi merosakkan keharmonian masyarakat yang telah lama dibina di negara ini.

“Saya menggesa pihak berkuasa agar mengambil tindakan tegas dan segera terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang cuba menimbulkan provokasi serta memainkan isu melibatkan agama, kaum dan institusi diraja (3R).

“Negara ini berdiri atas prinsip kedaulatan undang-undang, dan tiada siapa boleh menggugat keharmonian masyarakat tanpa berdepan tindakan sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pravin berkata, kebelakangan ini semakin kerap muncul insiden yang menyentuh sensitiviti 3R dan ia tidak boleh dibiarkan berlarutan sehingga menimbulkan ketegangan antara masyarakat berbilang kaum dan agama.

“Isu-isu sensitif seperti ini tidak seharusnya dijadikan bahan provokasi atau alat politik, lebih-lebih lagi apabila ia boleh mencetuskan salah faham dan menggugat perpaduan negara,” ujarnya.

Beliau menegaskan, budaya memanipulasi sentimen agama dan kaum demi meraih sokongan atau perhatian politik adalah tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh membawa kesan buruk kepada negara.

“Lebih membimbangkan apabila provokasi tersebut mudah tersebar melalui media sosial tanpa kawalan, sekali gus mewujudkan suasana yang tidak sihat dalam masyarakat.

“Sentimen agama dan kaum tidak boleh sama sekali dijadikan alat untuk menyemai kebencian atau perpecahan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar berhenti bermain api dengan isu sensitif yang boleh memecah-belahkan masyarakat.

“Semua pihak perlu lebih bertanggungjawab dalam setiap kenyataan dan tindakan, khususnya apabila menyentuh perkara sensitif. Saya yakin rakyat Malaysia adalah masyarakat yang matang dan bijak menilai provokasi.

“Justeru, marilah kita bersama-sama menolak politik kebencian dan mempertahankan perpaduan, kerana hakikatnya Malaysia adalah milik kita bersama,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast