Jamaliah Jamaluddin

KUALA LUMPUR — Insiden kebakaran lereng bukit seluas kira-kira 15 hektar (37 ekar) di Puncak Jalil, Seri Kembangan yang mencetuskan kebimbangan penduduk setempat sejak petang semalam disahkan berada di luar kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK).

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, kerajaan negeri mengambil maklum kejadian itu dan memantau rapat operasi pemadaman sejak awal.

Menurut beliau, kebakaran tersebut berjaya dipadamkan sepenuhnya awal pagi, hari ini dan operasi ditamatkan pada pukul 3.48 pagi tanpa melibatkan sebarang mangsa atau kerosakan struktur bangunan.

“Dimaklumkan juga bahawa kawasan yang terjejas berada di luar kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK),” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Berdasarkan laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor, operasi pemadaman dilaksanakan secara berterusan dengan penglibatan beberapa balai termasuk Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Kembangan; Cyberjaya; Puchong; Jalan Penchala dan Subang Jaya.

Sementara itu, Jamaliah turut merakamkan penghargaan kepada semua anggota bomba yang bertungkus-lumus mengawal api daripada terus merebak ke kawasan berhampiran.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada anggota JBPM yang telah bertungkus-lumus mengawal serta memadam kebakaran tersebut sepanjang operasi dijalankan. Komitmen dan dedikasi anggota di lapangan amat dihargai,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka terutama ketika cuaca panas dan kering yang boleh menyebabkan api merebak dengan pantas.

“Tindakan tidak bertanggungjawab seperti ini bukan sahaja memberi kesan kepada alam sekitar, malah boleh menjejaskan kesihatan awam serta keselamatan komuniti setempat,” tegasnya.

Orang ramai juga digesa segera melaporkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka atau kejadian kebakaran kepada pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan pantas diambil.

Kerajaan Negeri Selangor, katanya, akan terus bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan bagi memantau keadaan serta mempertingkatkan langkah pencegahan supaya insiden sama tidak berulang. — MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast