Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin melakukan gimik pengumuman dividen tahun kewangan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) 2025 ketika di Royale Chulan Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 12 MAC 2026.

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengumumkan kadar dividen sebanyak 5.35 peratus melibatkan agihan RM524.74 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 iaitu kadar tertinggi dalam tempoh lapan tahun.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pengagihan itu menyaksikan pencapaian LTAT yang sangat memberangsangkan walaupun berdepan dengan cabaran ekonomi global.

“LTAT berjaya mengekalkan kedudukan kewangan yang stabil, merekodkan jumlah pendapatan boleh diagihkan sebanyak RM541.5 juta dan jumlah pendapatan pelaburan RM749.5 juta.

“Lebih membanggakan, Dana Rizab LTAT telah meningkat kepada RM1.3 bilion berbanding RM1 bilion tahun sebelumnya.

“Ini menunjukkan kedudukan kewangan LTAT semakin diperkukuh demi kepentingan pencarum, iaitu warga ATM,” katanya.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berucap pada Majlis pengumuman dividen tahun kewangan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) 2025 ketika di Royale Chulan Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 12 MAC 2026.

Beliau berkata demikian pada ucaptama Majlis Pengumuman Dividen LTAT 2025 di sini, hari ini.

Pengisytiharan dividen itu juga menyaksikan tahun keempat berturut-turut LTAT mengekalkan dividen pada kadar lima peratus, mencerminkan pendekatan pelaburan yang berdisiplin serta usaha berterusan dana dalam mengoptimumkan portfolio pelaburannya pada persekitaran ekonomi yang dinamik.

Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman dan Ketua Eksekutif LTAT, Mohammad Ashraf Md Radzi.

Mohamed Khaled berkata, LTAT juga terus memperkukuh portfolio pelaburannya dengan setiap pelaburan diteliti secara rapi selain memperbaiki kelemahan serta memperkukuh tadbir urus syarikat di bawah Kumpulan LTAT.

Menurutnya, antara pencapaian positif adalah prestasi Pharmaniaga Berhad yang mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM8.7 juta bagi suku keempat 2025, meningkat berbanding RM2.4 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.

“Pencapaian itu menandakan suku kelapan berturut-turut Pharmaniaga mencatatkan keuntungan dan syarikat kini berada di landasan baik untuk keluar daripada status PN17 dalam tempoh terdekat.

“Kejayaan ini menunjukkan keberkesanan usaha pemulihan dan pemantauan LTAT dan saya percaya LTAT sedang melaksanakan transformasi merentasi syarikat-syarikat bagi memperkukuh prestasi, meningkatkan daya saing serta mencipta nilai yang lebih besar kepada pencarum,” katanya.

Pada majlis sama, Mohamed Khaled turut meluncurkan tiga inisiatif baharu iaitu Program Affin LTAT Affiliated Debit Mastercard, Kempen Bersama Wira 2.0 serta penambahbaikan aplikasi MyWIRA 2.0 bagi memperkasakan literasi kewangan dan meningkatkan akses perkhidmatan digital kepada warga ATM. – MalaysiaGazette

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hadir ke majlis pengumuman dividen tahun kewangan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) 2025 ketika di Royale Chulan Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 12 MAC 2026.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast