Mahkamah Majistret Ayer Keroh membenarkan suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan polis berhubung kes bunuh.

MELAKA – Mengesyaki telefon bimbitnya yang dipinjamkan kepada rakan dijual untuk membeli dadah dipercayai menjadi punca pembunuhan seorang lelaki ditikam bertubi-tubi menggunakan parang di hadapan rumahnya di Kampung Sungai Udang, di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, mangsa berusia 25 tahun diserang oleh rakannya berusia 44 tahun selepas berlaku pertengkaran berkaitan telefon bimbit milik suspek yang sebelum ini dipinjamkan kepada mangsa.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, bagaimanapun mangsa didakwa tidak memulangkan semula telefon berkenaan dan memberi pelbagai alasan kepada suspek.

Pasukan forensik memeriksa mayat seorang lelaki berusia 25 tahun maut selepas dipercayai ditikam bertubi-tubi menggunakan parang oleh rakannya dalam pergaduhan berpunca daripada telefon bimbit di hadapan rumah mangsa di Jalan Mohd Akhir, Kampung Sungai Udang, Melaka, malam tadi. Foto REZA A HAMID, 11 MAC 2026.

“Keadaan itu menyebabkan suspek beranggapan mangsa telah menjual telefon bimbit miliknya bagi mendapatkan bekalan dadah, menyebabkan lelaki itu bertindak dalam keadaan marah.

“Akibatnya, berlaku pergaduahan antara dua warga tempatan itu sebelum suspek dipercayai menyerang mangsa menggunakan sebilah parang,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, MalahysiaGazette melaporkan mangsa maut selepas dipercayai ditikam bertubi-tubi dengan sekurang-kurangnya tiga kesan tikaman di dada kiri menggunakan parang oleh rakannya itu.

Lokasi rumah seorang lelaki berusia 25 tahun maut selepas dipercayai ditikam bertubi-tubi menggunakan parang oleh rakannya dalam pergaduhan berpunca daripada telefon bimbit di hadapan rumah mangsa di Jalan Mohd Akhir, Kampung Sungai Udang, Melaka, malam tadi.

Abang mangsa yang berada di rumah tersebut cuba mengejar suspek, namun lelaki itu melarikan diri kira-kira 300 meter sebelum masuk ke dalam sebuah kereta milik orang awam untuk bersembunyi.

Sementara itu, Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini membenarkan suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin bermula hari ini sehingga 18 Mac depan bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, suspek yang memakai baju lokap berwarna oren dan bergari tangan tiba di mahkamah itu pukul 9.05 pagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast