KENYATAAN media DAPSY berkenaan isu ejen provokasi.

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kebangsaan, Woo Kah Leong menggesa pihak berkuasa segera menangkap dan mendakwa ejen-ejen provokasi dan samseng yang menggugat keamanan dalam masyarakat.

Menurutnya, tidak kira sama ada tindakan menghina al-Quran mahupun memijak simbol suci kuil, pelaku perbuatan itu wajib dikenakan tindakan sekeras-kerasnya berlandaskan kedaulatan undang-undang.

Katanya, mana-mana pihak tidak seharusnya mengambil tindakan sendiri dalam hal ini termasuk membakar kereta atau mengancam keselamatan seseorang individu, biarpun individu terbabit wajar diambil tindakan undang-undang lantaran provokasinya terhadap kuil-kuil.

“DAPSY memandang serius terhadap insiden provokasi yang dicetuskan segelintir pihak baru-baru ini khususnya tindakan mereka yang menanam sentimen kebencian terhadap penganut-penganut Hindu.

“DAPSY menggesa pihak yang berkenaan khususnya Peguam Negara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan yang sewajarnya dalam hal ini terutamanya tindakan penangkapan dan pendakwaan demi menghentikan segala tindakan mereka yang menggugat keharmonian kaum,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tambah beliau, DAPSY menyeru semua pihak untuk kekal tenang dan menegaskan bahawa tiada sesiapa selain daripada pihak berkuasa berhak untuk mengambil tindakan sendiri.

“Rakyat Malaysia adalah mencintai keharmonian dan keamanan, bukannya seperti segelintir samseng yang pernah membuli dan mengepung peniaga kecil di Pulau Pinang,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast