KUALA LUMPUR – Keputusan untuk mendakwa aktivis, Tamim Dahri perlu dijelaskan dengan lebih terperinci kepada umum bagi mengelak timbul keraguan bahawa tindakan tersebut dibuat secara tergesa-gesa, selektif atau dipengaruhi oleh pertimbangan yang tidak selari dengan prinsip keadilan.
Penasihat Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, keputusan tersebut wajar dinilai semula secara teliti berdasarkan prinsip keadilan, ketelusan dan kepentingan awam.
Beliau yang juga seorang peguam menjelaskan, kuasa untuk mendakwa adalah sangat besar dan mesti dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.
Ujarnya, prinsip asas dalam undang-undang jenayah menuntut pendakwaan hanya boleh dibuat apabila terdapat keterangan yang mencukupi untuk membuktikan kes melampaui keraguan munasabah serta apabila pendakwaan tersebut benar-benar selaras dengan kepentingan keadilan awam (public interest).
“Sekiranya terdapat unsur ketidakkonsistenan dalam tindakan pendakwaan, layanan yang berbeza terhadap kes yang serupa atau kegagalan mengambilkira keseluruhan keadaan fakta, maka keadaan tersebut boleh menimbulkan persepsi bahawa proses undang-undang sedang digunakan secara selektif,” ujar beliau dalam kenyataan menerusi laman Facebook hari ini.

Zainul Rijal selanjutnya berkata, persepsi sedemikian walaupun belum tentu benar boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap integriti institusi pendakwaan dan sistem keadilan jenayah secara keseluruhannya.
Peguam itu menjelaskan, kritikan terhadap sesuatu keputusan pendakwaan bukan bermaksud mencabar institusi perundangan tetapi merupakan sebahagian daripada semak dan imbang yang sihat dalam sebuah negara yang mengamalkan prinsip kedaulatan undang-undang.
Ujarnya, ketelusan, akauntabiliti dan kesaksamaan di sisi undang-undang hendaklah sentiasa menjadi asas dalam setiap keputusan untuk mendakwa mana-mana individu.
Dalam hantaran itu, beliau turut meragui kesahihan maklumat polis bahawa Tamim dan penceramah bebas, Zamri Vinoth berada di Thailand.

Polis semalam mengesahkan kedua-duanya yang disiasat melibatkan beberapa kes berasingan telah melarikan ke Thailand.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata usaha mengesan dua individu terbabit sedang giat dijalankan dengan bantuan pihak berkuasa Thailand.
Beliau berkata, siasatan terhadap Zamri berhubung kenyataannya pada perhimpunan di ibu negara pada 7 Februari lalu telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara dan arahan pertuduhan melibatkan Seksyen 505(B) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.
Selain itu, siasatan terhadap Zamri berhubung kenyataan berbaur penghinaan terhadap kaum India telah dirujuk ke Pejabat Pendakwaan Pulau Pinang dan arahan pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.
Sementara itu, kertas siasatan melibatkan Tamim berhubung tindakan merosakkan soolam yang menjadi simbol suci bagi agama Hindu di tapak lama kuil di Langkawi, Kedah telah dirujuk ke Pejabat Pendakwaan Kedah dan arahan pertuduhan di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan.
“Pertuduhan akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat selepas kedua-dua individu berjaya dikesan dan dibawa pulang,” katanya dalam kenyataan malam tadi. – MalaysiaGazette
















