Sekumpulan empat suspek bersenjata melakukan samun dalam kejadian di kawasan perumahan Taman Aman, Sungai Pelek, Sepang, awal pagi semalam. Gambar: Ihsan PDRM.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki cedera selepas disamun sekumpulan empat suspek bersenjata dalam kejadian di kawasan perumahan Taman Aman, Sungai Pelek, Sepang awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian samun bersenjata itu kira-kira pukul 2.30 pagi.

Menurutnya, ketika kejadian mangsa yang merupakan lelaki India berusia 35 tahun berada bersama keluarganya sebelum didatangi beberapa suspek dipercayai seramai empat orang yang bersenjatakan senjata.

“Dalam kejadian tersebut, mangsa mengalami kecederaan di beberapa bahagian anggota badan akibat serangan oleh suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mangsa kemudiannya mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Norhizam berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 394/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda serta sebatan jika sabit kesalahan.

Beliau berkata, usaha mengesan dan menangkap suspek sedang giat dijalankan oleh pihak polis.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan sebarang berita tidak benar berkaitan kejadian tersebut yang boleh mengganggu siasatan.

“Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Hussaini Helmee di talian 019-8966292 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast