BUKIT MERTAJAM – Trafik sesak sejauh sembilan kilometer (km) susulan kemalangan membabitkan sebuah lori treler dengan tiga kenderaan di Kilometer 137.4 Lebuhraya Utara Selatan arah Utara, di antara laluan Juru ke Permatang Pauh di sini, petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis berkata sebanyak 12 mangsa terlibat dalam kejadian itu termasuk kanak-kanak, dengan beberapa orang dilaporkan mengalami kecederaan dan ada antaranya yang parah.
Beliau berkata bomba menerima panggilan kecemasan pada 3.12 petang sebelum sepasukan lapan anggota bersama dengan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai dikejarkan ke lokasi kejadian bagi melakukan kerja penyelamatan.
“Kemalangan melibatkan tiga kenderaan, iaitu Hyundai Elantra, Proton X70 dan Honda BRV, serta sebuah treler yang membawa muatan barangan pasar raya. Dua mangsa didapati tersepit dan telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum bomba tiba di lokasi.
“Daripada 12 mangsa tersebut, tiga termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun menaiki kereta Honda BRV. Mangsa lelaki berusia 42 tahun cedera parah, manakala wanita dan kanak-kanak cedera ringan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, John berkata maklumat dan keadaan mangsa di dalam dua lagi kenderaan, iaitu Hyundai Elantra dan Proton X70 yang masing-masing dinaiki empat orang serta pemandu lori tidak dapat dipastikan.
Beliau berkata pihaknya mengambil tindakan dengan menjalankan kerja-kerja pembersihan sisa kemalangan di lokasi bagi memastikan keadaan selamat, manakala kesemua mangsa yang cedera diberi rawatan awal sebelum dibawa ke hospital untuk menerima rawatan lanjut dan operasi tamat pada 5.17 petang.
— BERNAMA
















