Mahdzir Khalid

KUALA LUMPUR — Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ditegur agar tidak mencampuri urusan dalaman UMNO berhubung usaha menyatupadukan bekas ahlinya menerusi inisiatif Rumah Bangsa.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, beliau hairan dengan sikap Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat dan Perikatan Nasional (PN) kerana didakwa lebih gemar mengulas hal UMNO berbanding menumpukan kepada pentadbiran negeri.

“Soal Rumah Bangsa yang disebut oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi adalah berkaitan seruan kepada bekas-bekas ahli UMNO untuk kembali kepada UMNO dan menjadikan Rumah Bangsa itu sebagai satu mekanisma penyatuan Melayu serta platform perbincangan berkaitan isu-isu kepentingan bangsa Melayu seperti pendidikan, hak Bumiputera dan ekonomi.

“Tetapi kenapa Sanusi sibuk hendak mengulas perkara itu yang beliau sepatutnya tidak perlu campur”, katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Mahdzir berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Sanusi yang menyifatkan inisiatif Rumah Bangsa sebagai cubaan UMNO untuk kembali menjadi ‘abang besar’, dakwaan yang menurutnya lebih menjurus kepada politik kebencian berbanding usaha penyatuan.

“Sebagai seorang pemimpin yang kononnya dari parti Islam, beliau (Sanusi) tidak sepatutnya menyebarkan sentimen kebencian kerana itu bukan akhlak dalam Islam lebih-lebih lagi di bulan Ramadan ini,” kata Mahfzir lagi.

Tambah beliau, pendekatan sedemikian jelas bercanggah dengan prinsip Islam yang menganjurkan perpaduan dan menolak perpecahan sesama umat.

“Dia (Sanusi) terlampau melebihi batas, dia ego, dia merasa dia kuat sangat, dia merasa dia tidak boleh dikalahkan di negeri Kedah ini sehingga dia perli orang, dia kata orang, dia maki orang ikut suka dia sahaja, dia jangan ingat negeri ini (Kedah) hak dia seorang sahaja?, soal beliau lagi.

Menurut Mahdzir, tindakan Sanusi membangkitkan pelbagai isu berkaitan UMNO dilihat sebagai usaha mengalihkan perhatian daripada kelemahan pentadbirannya sendiri sebagai Menteri Besar Kedah.

Beliau turut membidas dakwaan kononnya terdapat bekas wakil rakyat di Kuala Nerang memiliki tanah seluas 300 ekar, yang menurutnya seolah-olah dilemparkan tanpa menyebut nama secara jelas.

“Sanusi sebut perkara itu sebenarnya dia tuju kepada siapa? Sekarang ada enam bekas wakil rakyat di Kuala Nerang yang masih hidup termasuk saya, Datuk Seri Ghazali, Datuk Badrul Hisham, Datuk Syed Sobri, Datuk Abdul Latif Mat Saman dan Kama Noriah, itulah bekas wakil rakyat di Kuala Nerang.

“Kamu (Sanusi) kata kepada siapa? Sombong sangat ke kamu (Sanusi) sampai menuduh semua orang, ini bulan puasa, tak perlulah nak mengata orang, bagi saya beliau sudah melampau,” katanya lagi.

Mengulas dakwaan Sanusi bahawa UMNO hanya mencari orang Melayu ketika terdesak dan mencari DAP ketika selesa, Mahdzir menyifatkan kenyataan itu sebagai tidak berasas.

“Beliau (Sanusi) sebenarnya meludah ke langit tetapi terkena muka sendiri, Sanusi jangan buat-buat lupa bahawa parti Pas lah sebenarnya yang bersekongkol dengan menjalin kerjasama erat dengan DAP suatu ketika dahulu demi meraih undi orang Melayu untuk berkuasa,” jelasnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast