KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu telah membuka kertas siasatan tahun lalu, susulan siasatan isu penyelewengan peruntukan Program Sejahtera Komuniti Madani (Sejati Madani).
Menurut sumber, setakat ini hasil siasatan mendapati tiada sebarang kesalahan yang dilakukan mana-mana pihak di bawah Akta SPRM 2009.
“Kertas siasatan telah dibuka tahun lalu dan SPRM mendapati tidak sebarang kesalahan yang dilakukan di bawah Akta SPRM 2009,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mahupun bukti berkaitan isu penyelewengan peruntukan Sejati Madani supaya tampil memberikan kerjasama.
Sebelum ini, Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah) Nasional, Raja Kamarul Bahrin Shah menggesa SPRM menyiasat dakwaan peruntukan program Sejati Madani disalahgunakan oleh individu berkedudukan dalam politik di sebuah negeri Pantai Timur.
Dakwanya, beliau menerima beberapa aduan berkaitan projek tersebut di Terengganu yang telah diseleweng melalui perbuatan pecah amanah pihak terbabit.
Sejati Madani diperkenalkan kerajaan pada Mac 2024 dengan menyediakan peruntukan sehingga RM100,000 kepada komuniti yang layak bagi menjalankan aktiviti meningkatkan pembangunan sosioekonomi tempatan.
Ia melibatkan aktiviti pertanian, jahitan dan kraftangan, herba dan kesihatan, pelancongan serta hospitaliti selain aktiviti berkaitan alam sekitar. – MalaysiaGazette
















