KUALA LUMPUR – Profesor Datuk Ts. Ir. Dr. Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib sebagai Presiden Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) yang ketiga, berkuatkuasa mulai 17 Mac 2026.

Pelantikan beliau adalah bagi menggantikan Professor Emeritus Datuk Ts. Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir, yang telah memegang jawatan tersebut pada 17 Mac 2021 sehingga 16 Mac 2026.

Pelantikan yang dibuat oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Chang Lih Kang, mencerminkan keyakinan kerajaan terhadap kepimpinan dan pengalaman beliau dalam memacu pembangunan sektor teknologi dan teknikal negara.

“MBOT yakin kepimpinan baharu ini akan terus mempertingkatkan peranan institusi tersebut sebagai badan profesional yang menyokong pembangunan bakat serta pengiktirafan profesional dalam bidang teknologi dan teknikal,” kata lembaga itu dalam kenyataan hari ini.

Mohamed Ibrahim merupakan seorang tokoh akademik dan profesional dalam bidang kejuruteraan kimia yang mempunyai pengalaman luas dalam pendidikan tinggi, penyelidikan serta pembangunan teknologi.

Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia (Kepujian) daripada University of New South Wales, Australia sebelum melanjutkan pengajian di University of Manchester Institute of Science and Technology (UMIST), United Kingdom dan seterusnya memperoleh Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah dalam bidang Process Integration.

Beliau merupakan Naib Canselor Universiti Teknologi Petronas (UTP) pada tahun 2018 sehingga tahun 2025 dan memainkan peranan penting dalam memperkukuh kecemerlangan akademik serta reputasi global institusi tersebut.

Mohamed Ibrahim telah memulakan kerjaya akademik di Universiti Teknologi Malaysia sebagai pensyarah sebelum menyertai UTP pada tahun 1997.

Sepanjang kerjayanya di universiti tersebut, beliau telah memegang pelbagai jawatan kepimpinan penting termasuk sebagai Pengarah Penyelidikan dan Perundingan, Dekan Fakulti Kejuruteraan serta Timbalan Naib Canselor (Akademik).

Sebelum pelantikan sebagai Presiden MBOT, beliau turut berkhidmat sebagai Anggota Lembaga MBOT, menyumbang kepada pembangunan dan pemerkasaan profesion teknologis serta juruteknik di Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast