Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Khalid Mohamed ketika sidang media hari ini

KUANTAN – Seramai 1,042 individu diberikan Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) membabitkan kesalahan membuang sampah kecil di tempat awam dan jalan awam sepanjang penguatkuasaan Siri 1 dan 2 yang dilaksanakan bermula 1 Januari 2026.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Khalid Mohamed, 820 daripada mereka adalah warganegara tempatan, manakala 222 orang membabitkan warga asing.

Beliau berkata, jumlah itu membabitkan 159 individu di Pahang dengan 19 daripada mereka telah didakwa di mahkamah.

Katanya, hampir 90 peratus daripada kesalahan kecil itu dilaporkan berkaitan kesalahan membuang puntung rokok merata-rata.

“Saya memohon kepada masyarakat supaya lebih cakna tentang kebersihan ini kerana tangan yang membuang sampah-sampah kecil ini, tangan tersebut juga kami akan bawa untuk membersihkan menerusi perintah khidmat masyarakat.

“Tahun 2026 merupakan tahun melawat Malaysia dan komitmen kami adalah bagi memastikan kawasan-kawasan pelancongan dan juga kawasan-kawasan umum berada dalam tahap kebersihan yang terbaik. Sedikit banyak akan dapat menggamit lebih ramai pelancong pelancong asing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengikuti proses pendakwaan empat individu yang melakukan kesalahan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.

Empat lagi didakwa di Mahkamah kerana buang puntung rokok di tempat awam atau jalan awam hari ini

Beliau berkata, keempat-empat individu berusia lingkungan 26 hingga 40 tahun itu melibatkan tiga warga tempatan dan seorang rakyat Bangladesh.

Tiga lelaki rakyat tempatan itu katanya telah membayar denda sebanyak RM300 yang ditetapkan Mahkamah dan diperintahkan menjalani PKM selama 2 jam dalam tempoh tiga bulan, manakala pendakwaan lelaki warganegara Bangladesh telah ditunda.

“Pada 28 Mac ini kami akan melaksanakan Siri ketiga PKM di enam buah negeri kecuali negeri Melaka.

“Di Pahang, lokasi yang telah ditetapkan adalah di Temerloh. Hukuman yang telah dikenakan kepada pesalah-pesalah ini bukanlah untuk tujuan mengaibkan, tetapi lebih kepada elemen pendidikan,” tambahnya.

Mengulas mengenai persediaan SWCorp dalam penguatkuasaan dan pemantauan di lokasi-lokasi tumpuan sepanjang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri pula, Khalid memaklumkan bahawa lebih 500 penguatkuasa telah ditugaskan di seluruh negara.

Selain memberi tumpuan di kawasan-kawasan Rehat dan Rawat (RNR), kawasan perniagaan dan kawasan komersial juga diberi perhatian.

“Dan pada hari raya nanti, anggota-anggota kami masih lagi akan berkeliaran bagi memerhatikan tindak tanduk individu-individu yang tidak cakna kepada kebersihan,” jelasnya.

Beliau dalam masa sama turut menyeru orang ramai yang menyaksikan perbuatan membuang sampah di tempat awam atau jalan awam agar mengambil gambar atau merekod video seterusnya menyerahkan bukti itu kepada pihak SWCorp menerusi aplikasi Whatsapp di talian 013-2107473 untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast