KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan nasihat kepada rakyat supaya sentiasa berhati-hati ketika berada di jalan raya, khususnya semasa pulang ke kampung halaman bagi menyambut Aidilfitri bersama keluarga tercinta.
Seri Paduka Baginda bertitah agar semua pengguna jalan raya mematuhi peraturan lalu lintas, menjaga keselamatan diri serta tidak tergesa-gesa ketika memandu demi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Terdahulu, menerusi laman sosial Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini, baginda turut menzahirkan penghargaan kepada pasukan keselamatan dan agensi penguatkuasaan yang terus komited menjalankan amanah serta tanggungjawab ketika sambutan Aidilfitri.
Seri Paduka Baginda menyanjung tinggi pengorbanan anggota keselamatan dan penguatkuasa yang tetap bertugas demi memastikan keamanan, ketenteraman awam dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara, walaupun pada saat masyarakat lain meraikan lebaran bersama keluarga.
Sultan Ibrahim turut mendoakan agar semua anggota yang sentiasa berada dalam lindungan Allah Subhanahu Wa Ta’ala serta dikurniakan kesihatan yang baik serta dipermudahkan segala urusan sepanjang melaksanakan tugas.
Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Bukit Tunku, Kuala Lumpur di sini, hari ini. – MalaysiaGazette
















