KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengajak umat Islam di negara ini untuk terus menyemai kasih sayang dan memperkukuh hubungan kekeluargaan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Beliau berkata, Syawal yang diraikan selepas sebulan berpuasa seharusnya menjadi ruang terbaik untuk mengeratkan silaturahim serta saling bermaafan dengan penuh keikhlasan dan menghargai masa bersama keluarga serta insan tersayang.
“Alhamdulillah, Syawal kembali menyapa kita setelah sebulan menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan.
“Dalam kesempatan ini, saya bersama isteri dan seluruh keluarga, kakitangan di Pejabat Timbalan Perdana Menteri serta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, juga seluruh ahli UMNO, mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri 1447H kepada semua umat Islam, walau di mana jua berada.
“Insya-Allah, saya mendoakan semoga Syawal ini membawa keberkatan, ketenangan dan kebahagiaan buat kita semua,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau hari ini.
Menurut beliau, kehadiran Syawal membawa makna besar selepas umat Islam menunaikan ibadah sepanjang Ramadan.
Beliau turut mendoakan agar Aidilfitri kali ini membawa keberkatan dan kebahagiaan kepada seluruh rakyat. – MalaysiaGazette
















