Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang operator kilang cedera selepas terkena satu das tembakan dalam kejadian di hadapan rumah keluarganya di Padang Serai, Kedah lewat malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Tengku Mohd Faizal Tengku Yeng yang mengesahkan insiden itu berkata, kejadian kira-kira jam 11.50 malam di Kampung Permatang Durian.

Kata beliau, suspek lelaki berusia 42 tahun menghubungi mangsa berusia 24 tahun dan memintanya datang ke lokasi berkenaan.

“Bagaimanapun, sebaik tiba, mangsa ditahan suspek sebelum berlaku pertengkaran mulut antara mereka.

“Suspek kemudian melepaskan satu das tembakan yang mengenai mangsa, menyebabkan kecederaan pada bahagian lengan sebelum menembusi ke dada,” katanya kepada media hari ini.

Menurutnya, mangsa dikejarkan ke Hospital Kulim untuk mendapatkan rawatan dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan suspek tidak lama selepas kejadian di sekitar kawasan sama.

“Polis turut merampas sepucuk pistol jenis revolver bersama beberapa butir peluru hidup dan kelongsong peluru dipercayai digunakan dalam kejadian,” katanya.

Tambahnya, semakan mendapati kedua-dua individu mempunyai rekod jenayah lampau, termasuk kes berkaitan dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh serta Seksyen 8 Akta Senjata 1960. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast