KUALA LUMPUR – Penasihat DAP yang juga Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng menegaskan beliau telah menggunakan semua saluran dalaman parti dan kerajaan negeri sebelum membawa isu kenaikan cukai tanah di Pulau Pinang ke pengetahuan umum.
Kenyataan itu dibuat susulan teguran Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang mengingatkan agar perbezaan pandangan diselesaikan secara dan segera menghentikan perbalahan secara terbuka.
Bekas Ketua Menteri itu berkata, langkah tersebut telah diambil sejak cadangan kenaikan itu dibangkitkan tahun lalu namun tiada penyelesaian dicapai sehingga memaksa beliau bersuara secara terbuka.
Beliau bagaimanapun memaklumkan akan menghentikan sementara semua kenyataan awam selepas Anthony mengatur pertemuan antara beliau dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow bagi mencari penyelesaian.
“Saya menghargai usaha tersebut bagi mencari penyelesaian yang memuaskan berhubung kenaikan cukai tanah termasuk kes tertentu yang meningkat lebih 3,000 kali ganda,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, sehingga pertemuan itu berlangsung, beliau tidak akan mengadakan sidang media atau mengeluarkan kenyataan lanjut termasuk berkaitan aduan pemilik tanah yang terjejas.
Dalam pada itu, Guan Eng memberi jaminan pejabat Parlimen di Bagan serta pejabat DUN Air Putih akan terus membantu pemilik tanah membuat rayuan terhadap kenaikan tersebut.
Katanya, setakat ini, kira-kira 800 pemilik tanah telah dibantu, termasuk dalam urusan mengisi borang rayuan.
Isu kenaikan cukai tanah di Pulau Pinang terus mencetuskan perhatian apabila melibatkan peningkatan mendadak yang memberi kesan kepada pemilik hartanah di negeri itu. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
















