Petronas Petroleum Industrial Area, Kerteh, Terengganu

DUNIA hari ini sedang berdepan dengan badai ketidaktentuan harga minyak mentah akibat ketegangan geopolitik global yang kian meruncing. Sebagai sebuah negara pengeluar minyak, Malaysia berdiri di persimpangan antara peluang fiskal dan cabaran sosial yang menghimpit. Sebagai sebuah negara pengeluar minyak, Malaysia berdiri di persimpangan antara peluang fiskal dan cabaran sosial yang menghimpit.

Lonjakan harga pasaran global bukan sekadar angka di bursa saham, tetapi merupakan ujian getir terhadap tadbir urus ekonomi dan keutuhan kontrak sosial negara. Dalam mendepani kemelut ini, setiap tindakan kerajaan dan persediaan rakyat mestilah berpaksikan kepada kerangka Maqasid Syariah—iaitu tujuan-tujuan syarak yang bermatlamat menjaga kemaslahatan umum (Al-Maslahah al-Ammah). Prinsip ini menuntut agar setiap polisi yang diambil tidak hanya bersifat teknokratik-kewangan, tetapi mempunyai roh keadilan yang melindungi rakyat terbanyak daripada badai inflasi yang melumpuhkan.

Kenaikan harga minyak secara global memberikan kelebihan fiskal yang signifikan kepada perbendaharaan negara melalui peningkatan hasil royalti, cukai petroleum dan dividen daripada Petronas yang mencecah puluhan bilion ringgit setahun. Namun, di sebalik limpahan hasil ini, rakyat di peringkat akar umbi berdepan risiko inflasi yang mencabar. Dari perspektif Hifz al-Nafs (Perlindungan Nyawa), kerajaan memikul amanah besar untuk memastikan lonjakan hasil ini digunakan untuk menyerap tekanan kos sara hidup.

Dalam ekonomi Islam, perlindungan nyawa merangkumi jaminan
kualiti hidup yang bermaruah (al-hayah al-tayyibah). Jika harga minyak domestik dibiarkan naik mendadak mengikut pasaran tanpa mekanisme perlindungan, ia akan menghimpit golongan berpendapatan rendah sehingga menjejaskan akses mereka kepada keperluan asas seperti makanan berkhasiat dan rawatan kesihatan.

Lonjakan harga minyak di pasaran global sebenarnya memberikan ‘durian runtuh’ kepada kantung negara melalui dividen Petronas yang mencecah puluhan bilion ringgit. Namun, kekayaan ini akan menjadi tidak bermakna jika rakyat marhaen terus dibiarkan bergelut dengan inflasi yang mencekik. Dari prinsip Maqasid Syariah menuntut kerajaan untuk bertindak sebagai perisai kepada rakyat. Kerajaan tidak seharusnya memindahkan beban harga global kepada rakyat demi ‘mengindahkan’ kunci kira-kira negara semata-mata.

Sebaliknya, keuntungan ‘durian runtuh’ minyak dunia sewajarnya disalurkan semula untuk menstabilkan harga domestik. Sultanul Ulama, Imam al-Izz bin Abd al-Salam, dalam karyanya Qawaid al-Ahkam fi Masalih al-Anam menegaskan bahawa tugas pemerintah adalah mendahulukan maslahah yang lebih besar berbanding maslahah yang lebih kecil. Dalam konteks ini, maslahah rakyat marhaen yang memerlukan kestabilan harga adalah jauh lebih besar berbanding keinginan birokrasi untuk mengurangkan perbelanjaan subsidi secara drastik.

Menggunakan petrodolar untuk menyerap kenaikan kos adalah tanggungjawab moral bagi memastikan kekayaan sumber alam
negara benar-benar berfungsi sebagai pelindung rakyat daripada kemiskinan ekstrem. Jika kita meneliti sejarah negara pengeluar minyak lain seperti Kuwait atau Arab Saudi, mereka secara tradisinya mengekalkan harga minyak domestik yang rendah sebagai instrumen kestabilan sosial. Walaupun berlaku pelarasan harga pada masa kini, ia disertakan dengan bantuan tunai secara langsung dan program perlindungan sosial yang komprehensif agar kualiti hidup rakyat tidak terjejas secara mengejut.

Sebaliknya, kegagalan menguruskan subsidi secara telus dan berintegriti seumpama di Venezuela harus menjadi peringatan bahawa kekayaan sumber asli tanpa pengurusan yang matang boleh membawa kepada kehancuran negara. Justeru, dalam menguruskan hasil petroleum, prinsip integriti adalah harga mati kerana setiap sen keuntungan negara adalah harta awam (Mal al-Am). Ketegasan dalam menguruskan harta awam ini turut disokong oleh pemikiran Imam al-Haramayn al-Juwayni dalam kitab al-Ghiyathi.

Beliau menegaskan bahawa apabila perbendaharaan negara (Baitulmal) mempunyai kecukupan, maka haram bagi pemimpin membebankan rakyat dengan apa jua bentuk tekanan kewangan. Hujah ini sangat relevan; selagi hasil minyak dunia memberikan keuntungan tambahan kepada negara, beban kenaikan harga tidak sepatutnya diletakkan di bahu rakyat.

Pada masa yang sama, kerajaan wajib tegas mengekang ketirisan dan penyeludupan demi menjaga hak generasi akan datang (Hifz al-Nasl). Pelaburan hasil minyak dalam sektor pendidikan dan infrastruktur jangka panjang adalah perlu agar anak cucu kita tidak diwariskan dengan sumber asli yang kontang dan hutang yang sarat.

Maqasid Syariah turut menuntut peranan aktif daripada rakyat melalui Hifz al-‘Aql (Perlindungan Akal). Dalam mendepani inflasi, rakyat dituntut bertindak bijak dengan meningkatkan celik kewangan dan menguruskan perbelanjaan berdasarkan keperluan sebenar, bukannya emosi. Mengamalkan kesederhanaan atau sifat qana’ah serta mengurangkan pembaziran tenaga adalah manifestasi syukur kepada nikmat-Nya. Tindakan rakyat mengurangkan pembaziran bahan api adalah langkah praktikal yang membantu kestabilan ekonomi makro secara keseluruhan.

Mengimbangi keperluan mendesak hari ini dengan simpanan untuk masa depan adalah seni tadbir urus yang paling mencabar bagi mana-mana negara. Malaysia perlu terus berani menggunakan kelebihan sebagai pengeluar minyak untuk melindungi rakyat, tanpa mengabaikan aspek Hifz al-Nasl demi kelestarian anak cucu. Dengan meletakkan kemaslahatan manusia mengatasi keuntungan material semata-mata, Malaysia mampu membuktikan bahawa ekonomi yang berpaksikan keadilan syariah adalah jalan keluar terbaik dalam mengharungi ketidaktentuan dunia.

Dr Ridzwan Ahmad
Jabatan Fiqh-Usul Dan Sains Gunaan
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast