KUALA LUMPUR – Malaysia memerlukan pendekatan non-partisan bagi menangani ketidaktentuan ekonomi global yang semakin meruncing.
Presiden Perikatan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan, konflik berterusan di Asia Barat kini memberi kesan langsung kepada ekonomi global melalui kenaikan harga bahan tenaga, gangguan rantaian bekalan serta tekanan terhadap ekonomi dunia.
Menurutnya, situasi itu turut meningkatkan kos logistik, sekali gus menaikkan kos pengeluaran dan operasi merentasi pelbagai sektor ekonomi.
“Dalam tempoh beberapa bulan mendatang, negara berkemungkinan berdepan kenaikan harga barang asas dan makanan, peningkatan kos pengangkutan dan logistik serta kenaikan kos utiliti dan perkhidmatan.
“Lebih besar lagi impaknya adalah risiko tekanan kepada sektor pekerjaan, termasuk kemungkinan pengurangan tenaga kerja dalam industri yang terjejas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, tanpa intervensi dasar yang proaktif, risiko pemberhentian pekerja boleh meningkat, khususnya dalam sektor pembuatan, logistik serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terkesan susulan kenaikan kos bahan mentah.
Sehubungan itu, beliau menegaskan pendekatan yang mengutamakan kepentingan negara berbanding kepentingan politik kepartian adalah satu keperluan.
“Malaysia memerlukan pendekatan non-partisan yang mengutamakan kepentingan negara lebih daripada kepentingan politik kepartian, termasuk keperluan untuk lebih inklusif dan berasaskan tindakan,” katanya.
Beliau turut mencadangkan penglibatan menyeluruh semua pihak termasuk kerajaan, pembangkang, badan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik, pemain industri serta wakil masyarakat sivil dalam satu forum berbentuk Majlis Perundingan dan Intervensi.
Katanya, platform itu penting bagi memastikan setiap keputusan yang dibuat benar-benar mencerminkan kepentingan negara secara kolektif.
“Pendekatan ini bukan soal politik, tetapi soal kelangsungan negara.
“Dalam keadaan dunia yang semakin tidak menentu, Malaysia tidak boleh bergerak secara berpecah mengikut garis kepartian.
“Sebaliknya, kita mesti menghimpunkan kekuatan seluruh negara dengan merentasi perbezaan politik dan latar belakang untuk menghadapi cabaran ini secara bersama,” ujarnya.
Beliau menegaskan, apabila kestabilan ekonomi negara dan kebajikan rakyat menjadi taruhan, keutamaan harus diberikan kepada kesejahteraan serta daya tahan Malaysia. -MalaysiaGazette















